Carian
Teknologi Telepandu Dibangunkan Sementara Menanti Sistem Swapandu Sepenuhnya
July 1, 2024 Effi Saharudin

Di jalan raya masih belum ada kenderaan dengan kemampuan swapandu Tahap 5 yang membolehkan kenderaan bergerak daripada titik A ke titik B tanpa sebarang campur tangan manusia. Sistem swapandu Waymo misalnya hanya boleh melakukan pemanduan ini pada jalan-jalan tertentu sahaja. Terdapat pelbagai usaha sedang dilakukan untuk membangunkan sistem swapandu Tahap 5 tetapi sementara menanti ia wujud, sistem telepandu mungkin jalan penyelesaian sementara.

Dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari University of Michigan, sistem telepandu didapati adalah penyelesaian kepada isu pemandu perkhidmatan seru pandu yang membuang masa mencari pelanggan. Ini bukan sahaja merugikan pemandu tetapi turut mewujudkan pencemaran udara dan meningkatkan kesesakan lalu lintas.

Sistem telepandu membolehkan teksi dikawal dari jarak jauh oleh pemandu manusia yang bekerja daeri rumah. Pemandu manusia ini mengambil alih tugas memandu teksi di kawasan teksi swapandu tidak boleh beroperasi. Selepas penumpang tiba di destinasi, teksi hanya perlu dipandu kembali ke kawasan operasi sebelum teksi akan kembali beroperasi secara swapandu mencari penumpang. Pemandu manusia kemudian menanti dipanggil untuk mengambil alih apabila diperlukan.

Sistem telepandu juga berguna untuk situasi di mana tidak terdapat jumlah pemandu yang mencukupi. Seperti kami laporan minggu lalu, Jepun ingin membina sistem tali sawat sepanjang 500 km untuk menghantar kargo serta bungkusan kerana kekurangan pemandu lori.

Sistem telepandu membolehkan lori dibawa ke destinasi tetapi pemandu melakukan kerja dari rumah tanpa perlu risau kos penginapan luar bandar. Pada ketika ini dua perkhidmatan teksi telepandu sudahpun beroperasi di Las Vegas.

Malahan di Amerika sudah wujud pekerja kerjaya penyambut tamu maya di hotel dan pejabat. Tetamu dilayan oleh pekerja jarak jauh menerusi skrin komputer dan kamera web. Setiap pekerja tele-penyambut tetamu ini bekerja dari rumah di beberapa lokasi maya secara serentak.

Komen