Carian
Jepun Ingin Menggantikan Pemandu Lori Dengan Sistem Tali Sawat Sepanjang 500 KM
June 27, 2024 Effi Saharudin

Jepun mempunyai masalah peningkatan jumlah penduduk warga emas dan penurunan kadar kelahiran secara serentak. Oleh sebab itu mereka juga berhadapan kekurangan tenaga kerja. Antara yang terjejas ialah industri logistik kerana kurangnya pemandu lori. Penyelesaian kepada isu ini ialah dengan membina Autoflow-Road yang merupakan rangkaian tali sawat sepanjang 500 km yang menyambungkan Tokyo dan Osaka.

Kargo sehingga 1 tan boleh dibawa oleh Autoflow-Road bagi menggantikan lori. Ia bakal beroperasi 24 jam sehari dan boleh menggantikan tugas lebih 25,000 pemandu lori manusia. Jalan raya, terowong dan median jalan raya sedia ada akan digunakan untuk membina Autoflow-Road. Kargo besar akan dibawa menggunakan sistem terowong bawah tanah sebelum sistem tali sawat kecil atas tanah pula digunakan untuk penghantaran bungkusan lebih kecil kepada penerima.

Jepun mempunyai sekitar 660,000 pemandu penghantaran pada tahun 2020 tetapi ia akan berkurangan ke 480,000 menjelang 2030. Tidak seperti negara lain, Jepun tidak menggunakan pekerja asing untuk memenuhi keperluan buruh industri tempatan.

Sebaliknya automasi dan robot akan digunakan termasuk yang dikawal dari jauh oleh golongan OKU yang bekerja dari rumah. Robot-robot ini sudahpun digunakan oleh Lawson untuk menyusun barangan di rangkaian kedai serbaneka mereka sejak tahun lalu.

Selain itu eksorangka pula dibangunkan bagi membolehkan pekerja manusia bekerja tanpa mengalami kecederaan atau dihadkan oleh faktor usia. Ini semua adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan Jepun untuk berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja menjelang 2050.

Komen