Pusat Data Nasional (PDN) telah diserang kumpulan penggodam Brain Cipher menggunakan perisian tebusan LockBit 3.0. Akibatnya 210 perkhidmatan agensi kerajaan seperti imigresen dan biasiswa tergendala hampir dua minggu. Indonesia bertegas tidak akan membayar wang tebusan $8 juta yang diminta oleh penggodam.

Pagi ini, Brain Cipher mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka akan memberikan kata kunci untuk membebaskan data yang menjadi tebusan esok. Sebab yang diberikan ialah mereka terasa kasihan melihat kesukaran yang dialami oleh penduduk Indonesia disebabkan oleh serangan mereka. Oleh sebab, itu Brain Cipher memohon maaf atas segala kesukaran yang dihadapi.
Brain Cipher turut memberikan nasihat kepada pemerintah Indonesia untuk melakukan pelaburan kepada infrastruktur dan tenaga kerja bagi memastikan serangan yang cukup memalukan ini tidak berlaku lagi. Kelemahan pertama PDN ialah tiada sandaran dilakukan dengan kerap. Agensi menyalahkan PDN kerana tidak menyandarkan data penting sementara Kementerian Komunikasi pula menyalahkan agensi yang tidak melakukannya sendiri.