Carian
Samsung SmartThings Kini Menyokong Piawaian Matter 1.2
July 2, 2024 Fahim Zahar

Amat menarik untuk melihat pengeluar peranti mula menyokong pelbagai piawaian sambungan yang bersifat universal. Terbaru adalah Samsung yang kini mengumumkan sokongan piawaian Matter 1.2 pada ekosistem peranti Internet benda mereka, SmartThings.

Dengan sokongan Matter 1.2, SmartThings kini boleh digunakan untuk mengawal pelbagai peranti Internet benda seperti peti ais pintar, pendingin hawa, mesin basuh baju, robot vakum, kipas, pelbagai jenis sensor dan banyak lagi dari pelbagai jenama tanpa sebarang masalah. Kemas kini seterusnya adalah Smart Home Sharing yang membenarkan pengguna berkongsi Routines dengan rakan-rakan untuk mudah satu peranti dikawal secara beramai-ramai.

Antaramuka SmartThings turut telah diubah menjadi lebih mesra pengguna agar mudah mengawal pelbagai peranti Internet benda yang tidak lagi terhad kepada jenama Samsung sahaja. Samsung turut membawakan Hub Manager untuk mudah mengendalikan peranti Internet benda yang telah disambungkan mengikut pelbagai kategori seperti bilik dan sebagainya. Khusus untuk pengguna peranti Galaxy, kawalan peranti di bawah SmartThings boleh dilakukan terus dari talam notifikasi.

Kemudian bagi menarik pengguna Samsung jimat dari segi penggunaan tenaga, aplikasi SmartThings kini ada permainan mini untuk kumpul lencana dan Samsung Rewards Points. Ciri ini diberi nama sebagai Flex Connect dan terhad di beberapa negeri di Amerika Syarikat sahaja. Pelbagai kemas kini baharu ini akan diberikan kepada pengguna secara berperingkat.

Komen