Carian
Proton Docs Diperkenalkan – Pesaing Google Docs Yang Memfokuskan Privasi
July 4, 2024 Fahim Zahar

Beberapa bulan lepas, Proton telah mengambil alih Standard Notes iaitu perkhidmatan mencatat nota yang memfokuskan privasi. Ini sesuai dengan jenama Proton yang menawarkan Proton Mail, Proton Drive dan Proton VPN yang turut mempunyai fokus yang sama. Terkini, Proton memperkenalkan pesaing kepada Microsoft Word dan Google Docs yang tersedia di dalam Proton Drive iaitu Proton Docs.

Seperti mana-mana aplikasi dan perkhidmatan mencipta dokumen, Proton Docs membenarkan pengguna melakukan banyak perkara sama. Ini termasuk dengan satu dokumen dikendalikan oleh ramai orang. Keunikan pada Proton Docs adalah semua dokumen disulitkan, setiap fail disimpan di pelayan Swiss, Proton tidak akan menjejak dan turut tidak boleh membaca semua fail termasuk butiran seperti nama atau metadata.

Menurut Proton, Docs mereka ini dibangunkan dengan mengambil inspirasi daripada Standard Notes iaitu tulis dengan privasi, kongsi dan jemput sesiapa, bekerjasama secara masa nyata, boleh lihat siapa yang sedang membuka dan menyunting fail, meninggalkan komen dan membalas komen serta import dan eksport fail dengan mudah.

Proton Docs adalah perkhidmatan percuma dengan syarat mereka yang ingin menggunakannya perlu mendaftar akaun Proton Drive. Pengguna sedia ada akan menerima akses ciri ini hari ini, sementara pengguna baharu boleh mengakses Proton Docs dalam masa beberapa hari selepas pendaftaran.

Komen