Siri Realme 13 Pro 5G akan dilancarkan dengan fokus terhadap kamera. Realme menggelarkannya sebagai ‘First Professional AI Camera Phone’ mereka yang mengintegrasikan AI dalam fotografi bertujuan untuk penghasilan gambar lebih menarik. Berpeluang menyertai acara Realme AI Imaging Media Preview yang berlangsung di Bangkok pada 3 hingga 6 Julai 2024 memberi pengalaman yang menarik. Ia bermula dengan perkongsian inovasi terkini yang memungkinkan mampu merevolusi fotografi mudah alih menjadi lebih baik.


Tumpuan utama sudah tentunya pada bagaimana AI mampu mengubah ‘permainan’ dalam fotografi mudah alih seterusnya membuka ruang yang dapat diakses oleh semua orang dengan mudah. Kemudian diikuti dengan sedikit perkongsian mengenai peranti baharu siri Realme 13 Pro 5G yang dijadualkan tiba sekitar bulan ini. Dalam acara ini kami juga diberi peluang mencuba ciri baharu pada kamera peranti namun sedikit terhad memandangkan ia masih belum sedia digunakan sepenuhnya. Begitu juga dengan rekabentuk dan kemasan akhir peranti yang masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Kerjasama Diantara Realme Dan Sony

Realme mengumumkan kerjasama dengan Sony Semiconductor Solutions untuk pembangunan sensor LYT-701 baharu yang kelak digunakan pada siri Realme 13 Pro 5G. Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk merevolusikan fotografi mudah alih dengan menyediakan kedua-dua perkakasan canggih dan ciri kamera yang mengintegrasikan AI. Sekaligus meningkatkan pengalaman fotografi yang membolehkan pengguna melihat dunia fotografi mudah alih dari perspektif yang berbeza.


Misalnya seperti situasi dengan pencahayaan rendah seperti senja dan malam juga boleh memaparkan imej yang jelas sambil mengekalkan butiran yang sepatutnya. Di samping itu, telefon baharu ini juga dilengkapi kamera telefoto periskop dengan sensor Sony LYT-600 yang menyokong zum optikal 3X dan OIS. Sensor iyu dikatakan mampu menghasilkan kualiti imej yang luar biasa dalam pelbagai senario termasuk situasi pencahayaan rendah.





Teknologi Pengimejan Baharu HYPERIMAGE+
Keadaan bertambah baik apabila ianya digandingkan dengan teknologi pengimejan baharu Realme yang dipanggil sebagai HYPERIMAGE+. Secara teorinya, teknologi itu menggunakan seni bina tiga lapisan yang direka untuk meningkatkan pengalaman fotografi mudah alih. Lapisan pertama memberi tumpuan kepada sensor utama yang menggabungkan pelbagai kanta termasuklah periskop dan sudut-lebar. Gabungan ini dikatakan mampu meningkatkan kejelasan dan perincian imej dengan ketara.


Lapisan kedua pula memanfaatkan algoritma canggih yang direka khusus bagi memproses data imej dalam masa nyata untuk meningkatkan kualiti visual secara menyeluruh. Ini termasuklah warna dan julat dinamik lebih baik kemudian memberikan hasil yang berkualiti serta jelas terus daripada sebuah telefon pintar. Lapisan terakhir berupa alat suntingan berasaskan awanan yang menggunakan AI untuk kemudahan menyunting terus daripada peranti tanpa memerlukan muat turun perisian.
Fungsi AI Pada Kamera Peranti
Terdapat juga ciri berasaskan AI disediakan yang bukan sahaja diyakini mampu meningkatkan pengalaman fotografi ke satu tahap lebih baik. Malahan menyumbang kepada capaian keseimbangan antara pemprosesan imej yang berkualiti dan mengoptimumkannya menjadi lebih menarik secara visual. Berikut disenaraikan fungsi-fungsi yang disediakan:
- AI HyperRAW Algorithm – Fungsi yang mampu memproses data imej dalam domain RAW seterusnya meningkatkan kejelasan gambar dan julat dinamik untuk menangkap cahaya serta bayang yang tulen. Ini bermakna imej yang dihasilkan boleh mempunyai julat dinamik yang seimbang lantas kelihatan lebih terperinci yang hampir sama dengan pandangan mata manusia dalam dunia nyata. Tahap perincian seperti ini mungkin tidak sepenuhnya sempurna tetapi masih ditahap hingar yang minima.

- AI Pure Bokeh & AI Natural Skin Tone – AI Pure Bokeh membolehkan kamera peranti mengenal pasti pelbagai elemen dalam adegan semasa yang termasuk subjek itu sendiri. Kemudiannya memanfaatkan AI untuk memisahkan diantara subjek dan latar belakang dengan baik. Lantas menghasilkan gambar potret sinematik yang realistik dalam beberapa saat. Apabila digabungkan dengan AI Natural Skin Tone, ia bantu meningkatkan penampilan semula jadi pelbagai tona kulit menggunakan kecerdasan buatan pada peranti.




- AI Ultra Clarity – Alat suntingan imej berasaskan awanan yang boleh meningkatkan kualiti menjadi lebih tajam dan jelas. Secara teorinya, ia boleh meningkatkan kualiti imej beresolusi rendah menjadi lebih baik. Ia merangkumi elemen-elemen penting seperti warna, kejelasan dan lainya. Penghasilan warna juga sedap dipandang mata cuma menjadi terlalu tepu dalam sesetengah keadaan khususnya melibatkan warna yang terang seperti merah.


- AI Smart Removal – Ini membolehkan pengguna memadam atau mengalih keluar objek yang tidak diingini daripada gambar dengan bantuan AI. Ciri ini menyerupai Magic Eraser pada peranti Google dan Photo Assist yang ditawarkan oleh Samsung pula. Terdapat dua cara memadam disediakan iaitu Smart Lasso yang boleh mengalih keluar objek tidak diingini dengan hanya membuat bulatan disekeliling. Dengan Paint Over pula boleh menggantikan objek yang dipilih dengan yang lain. Kedua-dua ciri memerlukan sambungan internet dan mengalih keluar objek dengan Smart Lasso adalah lebih mudah dalam kebanyakan situasi.




- AI Group Enhance – Ia sesuai digunakan untuk tangkapan swafoto secara berkumpulan. Dengan memanfaatkan AI, kamera peranti boleh mengecam lebih daripada dua subjek dalam satu bingkai seterusnya mengaktifkan ciri itu secara automatik.
Hasil Gambar Realme 13 Pro+ 5G

















Turut melengkapi siri Realme 13 Pro 5G ialah High Resolution Camera Certification daripada TÜV Rheinland untuk kejelasan imej luar biasa dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Siri berkenaan telah disahkan tiba sekitar Julai namun tidak dinyatakan secara terperinci tentang tarikh serta perkakasan dalamannya.