Carian
China Dilaporkan Berjaya Mencipta Radar Yang Boleh Menjejak Senjata Hipersonik
July 9, 2024 Effi Saharudin

Senjata hipersonik dibangunkan oleh Amerika Syarikat, Rusia dan China kerana pada ketika ini ia bukan sahaja tidak boleh dijejak oleh radar tetapi mustahil untuk dipintas. Ini menjadikannya senjata dengan kuasa pemusnah yang cukup berkuasa di medan perang masa hadapan. Menurut laporan South China Morning Post, China mengumumkan kejayaan membina radar yang boleh menjejak 10 senjata hipersonik secara serentak.

Pesawat MIG-31 dengan peluru berpandu Kinzhal

Dalam laporan yang sama, radar dikatakan menggunakan teknologi gelombang mikro fotonik. Senjata hipersonik yang terbang pada kelajuan Mach 20 (~25,000 kmj) boleh dijejak dari jarak 600 kilometer dengan kejituan 99.7%. Rekaan dan gambar sebenar radar ini masih belum didedahkan.

Walaupun radar yang menjejak senjata hipersonik sudah dibangunkan, masih tiada sistem peluru berpandu yang memintasnya sebelum ia dapat mencapai sasaran. Kerana ia bergerak pada kelajuan tinggi, menghasilkan sistem penangkis adalah hampir mustahil menggunakan teknologi semasa. Sebagai contoh jika peluru berpandu Mach 20 dikesan dari jarak 600 kilometer, sistem pertahanan hanya mempunyai 90 saat untuk memusnahkannya.

Setakat ini hanya Rusia mempunyai peluru berpandu hipersonik yang beroperasi iaitu Kh-47M2 Kinzhal dengan ia telah digunakan di Ukraine. Kinzhal mampu terbang pada kelajuan maksimum Mach 10 (~12,000 kmj) dan dilengkapi kepala peledak konvensional atau nuklear mengikut keperluan misi.

Komen