Carian
Keunggulan Komputer Kuantum Google Dipintas Oleh Komputer Konvensional
July 9, 2024 Effi Saharudin

Google mengumumkan keunggulan kuantum (quantum supremacy) berjaya dicapai oleh Sycamore, komputer kuantum mereka pada tahun 2019. Keunggulan kuantum ialah tahap di mana sebuah komputer kuantum boleh melakukan perkiraan yang jauh lebih pantas berbanding komputer konvensional. Pada tahun 2019, Sycamore melakukan sebuah perkiraan kompleks dalam massa 200 saat sahaja sedangkan komputer konvensional memerlukan sehingga 10,000 tahun untuk melakukan tugasan yang sama.

Google Sycamore

Tetapi kini penyelidik dari Makmal Kecerdasan Buatan Shanghai di China berjaya melakukan perkiraan yang sama seperti Sycamore pada masa yang lebih pantas menggunakan sebuah komputer konvensional. Komputer yang dilengkapi 2300 GPU NVIDIA A100 hanya mengambil masa 14.22 saat dengan menggunakan sebanyak 2.39 kWh tenaga elektrik. Ia turut boleh melakukan perkiraan yang sama dalam masa 17.18 saat jika penggunaan kuasa dikurangkan ke hanya 0.29 kWh. Sebagai perbandingan, Sycamore memerlukan 4.3 kWh tenaga elektrik untuk tugasan yang sama.

Ini jelas memusnahkan keunggulan kuantum yang dicapai oleh Google hampir lima tahun yang lalu. Namun begitu ini tidak bermakna komputer kuantum tidak lagi bernilai. Sebaliknya sejak 2019, perkembangan teknologi dalam arena perkomputeran kuantum semakin berkembang dengan Sycamore sendiri telah dinaik taraf.

Keputusan kajian terkini ini sekadar menunjukkan had teknologi perkomputeran konvensional masih belum dicapai dengan masih banyak penambahbaikan boleh dilakukan bagi meningkat prestasinya.

Komen