Carian
Samsung Galaxy Watch Ultra Ialah Jam Tahan Lasak MIL-STD 810H – Harga RM3399
July 10, 2024 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Watch Ultra ialah jawapan Samsung kepada Apple Watch Ultra yang dilancarkan beberapa tahun lalu. Oleh jam tangan ini memberikan penekanan kepada ketahanan digunakan ketika acara lasak, kemampuan bateri luar biasa dan sistem kecemasan baharu yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

Dari segi spesifikasi ia hadir dengan skrin 1.5″ AMOLED berbentuk bulat dengan kaca nilam, dijana cip Exynos W1000, memori 2GB RAM, storan 32GB dan bateri sebesar 590 mAh. Ini membolehkan Watch Ultra beroperasi sehingga 100 jam berterusan dalam mod penjimatan bateri atau 48 jam sekiranya dalam mod biasa..

Tubuh berbentuk kotak menggunakan bahan logam titanium tahap 4 yang melepasi piawaian MIL-STD 810H, di bawah menyelam sehingga 10 ATM dan kalis air IP68. Ia turut boleh beroperasi dalam julat suhu -20 hingga 55 darjah Celsius. Malah menurut Samsung jam tangan pintar Wear OS 5 ini boleh dibawa mendaki sehingga ketinggian 9000 meter atau turun ke kawasan serendah 500 meter bawah paras laut.

Tali jam kali ini diperbuat daripada bahan HNBR yang menurut Samsung memberikan keselesaan ketika dipakai. Gegelung pada tali bertindak sebagai kusyen menyerap hentakan dan pada waktu yang sama bahan HNBR membolehkan kulit pemakai bernafas. Ia ditanggalkan menggunakan sistem cangkuk baharu yang hanya mempunyai satu butang.

Skrin boleh mencapai kecerahan maksimum 3000 nits. Terdapat mod malam yang menukar muka jam untuk kelihatan kemerahan supaya tidak menyakitkan mata. Perubahan paling besar pada Watch Ultra ialah terdapat Quick Button baharu yang boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi tertentu. Jika ditekan selama beberapa saat, penggera kecemasan boleh diaktifkan dengan ia mengeluarkan bunyi nyaring sehingga 86 dB supaya memudahkan pemakai dikesan sekiranya sesat.

Di Malaysia, Samsung Galaxy Watch Ultra dijual pada harga RM3399 seutas dengan pratempahan sudah boleh dilakukan sementara jualan terbuka pula pada 24 Julai. Pilihan warna pula ialah Dark Gray, Titanium dan White.

Komen