Pengenalan Galaxy Watch7 turut melengkapi ekosistem peranti terkini Samsung yang dilancarkan pada hari ini. Ia ditawarkan dalam dua pilihan variasi dengan saiz skrin 1.3″ yang digunakan dalam tubuh 40mm. Kemudian meningkat kepada 1.5″ yang digunakan dalam tubuh 44mm. Kedua-duanya juga menggunakan panel Super AMOLED bewarna dengan kebolehan ciri Always-On-Display (AOD). Pada masa sama dilindungi dengan kaca Sapphire Crystal untuk lebih tahan lasak.

Pemproses Exynos W1000 (3nm) digunakan untuk menjadi tunjang utama kepada jam tangan. Diikuti juga gabungan memori 2GB RAM, storan 32GB dan bateri 300/435mAh sebagai pelengkap. Sensor BioActive juga dipertingkatkan dengan tahap kejituan 30% lebih baik berbanding sebelum ini. Ia direka semula dengan susunan sensor yang optimal untuk bacaan lebih tepat. Selain mempunyai kemampuan menerima cahaya lebih baik dengan empat LED baharu yang turut ditambah. Ia juga membawakan ciri baharu Advanced Glycation End Produxts (AGES) yang boleh menjadi penunjuk kesihatan metabolik dan penuaan biologi yang dipengaruhi oleh gaya hidup dan tabiat pemakanan secara keseluruhan.


Ciri-ciri lain yang ada pada peranti ini juga adalah Electrocardiogram (ECG) dan Blood Pressure (BP) Monitor yang boleh menjadi fungsi terpenting untuk memantau kesihatan jantung. Selain itu, ia menyediakan lebih 100 mod sukan yang diikuti dengan berbilang fungsi kecergasan menarik yang lain. Misalnya seperti Work Routine untuk memantau target harian, Race yang membolehkan pengguna membandingkan prestasi secara masa nyata dan Body Composition pula mampu mengukur pelbagai data kesihatan badan termasuklah lemak, protein, BMI dan lain-lain.

Turut melengkapi jam tangan ini adalah penarafan kalis air 5ATM + IP68, ketahanan tahap tentera MIL-STD-810H, GPS(L1+L5), Bluetooth 5.3, LTE, dan menyokong Samsung Wallet bagi tujuan pembayaran nirtunai. Akhir sekali, sistem operasi digunakan ialah One UI 6 Watch berasaskan Wear OS 5. Bagi yang berminat, Galaxy Watch7 (40mm) tersedia dalam warna Green dan Cream dengan harga RM1,199 (BT) dan RM1,499 (LTE). Manakala, Galaxy Watch7 (44mm) pula boleh didapati dalam warna Green dan Silver pada RM1,299 (BT) dan RM1,599 (LTE). Sesi pratempah dibuka sekarang melalui laman web rasmi Samsung Malaysia.
- Pratempah sekarang – Samsung Malaysia