ADATA ialah sebuah jenama teknologi yang dikenali untuk produk-produk memori dan storan mereka, dan ia juga mempunyai sub-jenama yang memfokuskan terhadap pembangunan aksesori komputer dan gaming, iaitu XPG.
Tidak lama selepas memperlihatkan konsol mudah-alih XPG Nia mereka, ADATA memperlihatkan sebuah lagi produk baru, dimana kali ini ia adalah sebuah rangka komputer yang menyokong teknologi sambungan baru BTF.

BTF merupakan teknologi sambungan kabel baru yang dibangunkan oleh ASUS dimana palam kabel dialihkan ke belakang papan induk, ataupun dialihkan ke bahagian palam PCIe untuk kad grafik untuk binaan komputer desktop yang lebih kemas.

Satu isu yang hadir dengan teknologi BTF ini ialah tidak banyak rangka komputer yang menyokongnya buat masa ini. Terkini, ADATA telah memperlihatkan rangka desktop terbaru mereka. iaitu XPG Invader X BTF yang menyokong papan induk BTF, khususnya sambungan palam kuasa di bahagian belakang papan induk ini.

Dalam pada itu, rangka komputer ini juga menyokong sehingga 10 kipas penyejuk bersaiz 120mm. Dalam pada itu, rangka Invader X BTF ini juga menyokong radiator penyejuk bersaiz 360mm tanpa masalah. Rangka ini juga boleh memuatkan kad grafik yang mmpunyai panjang 400mm. Dari segi sokongan papan induk, XPG mengatakan bahawa rangka ini boleh menyokong papan induk bersaiz Mini-ITX sehinggalah saiz ATX penuh.

Setakat ini, tidak banyak papan induk dan kad grafik yang dilihat menyokong ciri BTF ini, tetapi ASUS dan MSI adalah diantara pertama yang memanfaatkannya, dan ia dijangka bahawa ADATA akan memperkenalkan rangka Invader X BTF ini ke pasaran-pasaran terpilih tidak lama lagi.