Baru-baru ini terdapat ura-ura yang WhatsApp akan menerima kemas kini khas untuk peranti Samsung, di mana ciri penterjemahan Galaxy AI boleh digunakan dari dalam aplikasi WhatsApp. Sekarang ciri penterjemahan memerlukan Samsung Keyboard dan akan ada ikon terapung untuk pengguna.

Bagaimana pula jika anda tidak menggunakan peranti Samsung tetapi masih ingin nikmati penterjemahan ini tanpa melecehkan diri membuka aplikasi pihak ketiga? Menurut WABetaInfo, peranti lain akan menerima WhatsApp dengan Google Translate terbina. WhatsApp dilihat akan menggunakan ciri Live Translation yang memerlukan pengguna pilih teks dan tekan butang terjemah secara manual.
Lebih menarik, ciri ini dikatakan turut boleh berfungsi tanpa akses Internet dengan syarat pengguna telah sedia memuat turun beberapa pek bahasa. Sumber tidak mendedahkan berapa banyak bahasa yang disokong harapnya tidak terhad kerana Google Translate sedia menyokong lebih 244 bahasa. Sama-sama kita nantikan ketibaan kemas kini ini.