Carian
Pelagak PC Yang Ditolak Apple Akhirnya Diluluskan Di App Store
July 15, 2024 Fahim Zahar

UTM SE adalah pelagak (emulator) PC yang boleh menjalankan sistem operasi Windows, macOS, Linux pada sebuah peranti mudah alih. Bulan lalu, Apple menolak pelagak ini untuk disenaraikan di App Store walaupun menerima pelagak lain seperti Delta yang boleh menjalankan Game Boy atau NES pada iPhone. Baru-baru ini, pelagak ini telah diterima oleh Apple dan disenaraikan di App Store.

Pembangun UTM SE bekerjasama dengan pasukan AltStore (gedung aplikasi pihak ketiga di iOS) untuk mengoptimasikan aplikasi mereka. Untuk mengelak sebarang masalah pelanggaran hak intelek, UTM SE tidak menyediakan sebarang sistem operasi terbina sebaliknya hanya menyediakan cara pemasangan. Fail imej dan fail pemasangan sistem operasi harus disediakan sendiri oleh pengguna. UTM SE menyokong Windows XP – Windows 11, pelbagai variasi Linux, Mac OS 9.2.1 dan DOS.

Seperti aplikasi pelagak lain, UTM SE juga adalah percuma untuk semua pengguna. Dengan pelagak ini tersedia anda kini boleh menjalankan sistem operasi Windows, Mac OS lama dan pelbagai jenis Linux pada iPhone, iPad dan Vision Pro.

Komen