Carian
Pra-tempahan ASUS ROG Ally X Di Malaysia Kini Dibuka – Dijual Pada Harga RM4299
July 17, 2024 Nazrin

Pada pertengahan tahun ini, ASUS telah memperlihatkan kemaskini kepada konsol mudah-alih PC mereka, yang dikenali sebagai ROG Ally X. Butiran konsol tersebut telah diperlihatkan sewaktu acara Computex Taipei dimana ia akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme, memori LPDDR5X 24GB, storan SSD PCIe 4.0 1TB dan bateri yang lebih besar.

Terkini, nampaknya butiran harga konsol tersebut telahpun diperlihatkan secara rasmi, dimana ia akan dijual pada harga RM4299, iaitu peningkatan harga sebanyak RM1000 berbanding dengan model asal ROG Ally yang dijual pada harga RM3299.

Bersama dengan itu, ASUS Malaysia juga telah membuka laman pra-tempahan untuk konsol ASUS ROG Ally X ini, dimana anda boleh mula menempah konsol ini. Ia juga hadir dengan promosi aksesori percuma sekiranya anda menempah bermula hari ini, 17 Julai sehingga 31 Julai 2024 kelak bernilai RM658.

Aksesori-aksesori percuma ini termasuklah beg menyimpan konsol ROG Ally X, dermaga pengecasan khusus untuk konsol ini dan pelindung skrin untuk paparan ROG Ally X. Dalam pada itu, pada jam 7pm hari ini (17 Julai 2024), ASUS Malaysia akan mengadakan acara livestream di laman Facebook mereka dimana mereka akan memberi peluang kepada penonton untuk memenangi hadiah-hadiah percuma, dimana sebuah konsol ASUS ROG Ally X adalah salah satu daripadanya.

Komen