Di pejabat Amanz terdapat tiga konsol permainan mudah alih yang menjalankan Windows 11 iaitu ASUS ROG Ally, Lenovo Legion Go dan juga MSI Claw A1M. Ketiga-tiga ini yang menjadi juara adalah Lenovo kerana menawarkan pakej lengkap untuk sebuah konsol mudah-alih sebenar. ASUS ROG Ally pula menjadi pilihan ramai kerana harga jualan dan prestasi. Sementara MSI Claw A1M tercicir di belakang kerana berani menggunakan cip Intel Ultra 7 yang tidak mempunyai kemampuan grafik yang baik sehingga saya katakan dalam ulasan, MSI tidak cukup “tajam”.

Di acara Computex 2024, ASUS ROG Ally X telah dilancarkan dengan bebrapa kemas kini yang lebih berkuasa. Malah ASUS turut mengambil inspirasi MSI Claw seperti tubuh warna hitam, sisi yang memberikan lebih cengkaman dan butang kawalan yang baik. Ini secara tidak langsung menjadikan ROG Ally X sebagai pesaing yang lebih “tajam”.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
ASUS ROG Ally X | |
---|---|
Skrin | 7.0″ IPS LCD FHD (1920×1080), 120Hz, Gorilla Glass Victus, AMD FreeSync Premium |
CPU | AMD Ryzen Z1 Extreme |
GPU | AMD Radeon RDNA3 |
RAM | 24GB LPDDR5X Dwi-Saluran 7500 MHz |
Storan Dalaman | 1 TB M.2 2280 NVMe PCIe G4x4 Boleh Naik-Taraf Sendiri |
Audio | Speaker Stereo Smart Amplifier Technology Dolby Atmos Pembatalan Hingar AI Hi-Res Audio Mikrofon Terbina |
I/O | 1x Port Bicu Audio 3.5mm 1x Pembaca Kad SD UHS-II 1x USB-C, DP 1.4 + PD 3.0 1x USB-C, Thunderbolt 4 + DP 1.4 + PD 3.0 |
Bateri/Pengecasan | 80 Wh Pengecas Universal 65W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | WiFi 6 |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | $799 (~RM3,760), 24GB + 1TB |
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Perkara pertama yang membuatkan saya teruja adalah setiap sisi dengan cengkaman lebih baik. Ia sangat selesa di tangan dan dengan setiap komponen direka semula untuk diletakkan di bahagian tengah, ia memberi ilusi Ally X adalah lebih ringan walaupun hakikatnya ia 70 gram lebih berat. Berat ini akan terasa selepas sekitar 10 minit bermain, kerana jari-jemari saya yang mula menggigil kepenatan.

Peningkatan memori ke 24GB RAM LPDDR5X ternyata satu keputusan bijak kerana prestasi memang boleh rasa berganda lebih baik. Windows 11 masih tidak sempurna untuk konsol mudah alih tetapi aplikasi Armoury Crate SE 1.5 sebagai pelancar/hab permainan, menjadikan Ally X berpotensi menjadi konsol permainan terbaik. Ia lebih lancar, lebih mudah dikawal dan mesra pengguna. Setiap butang yang lebih sedap ditekan dan tahan lasak turut membantu memberikan pengalaman penggunaan yang bagus.

Tidak banyak permainan yang ASUS benarkan kami cuba, ini termasuk dengan menguji konsol tersebut dengan aplikasi penanda aras. Dengan CPU dan GPU yang masih sama iaitu AMD Ryzen Z1 Extreme + AMD Radeon RDNA3, permainan seperti Tekken 8 selepas dimainkan dalam masa 10 minit adalah sangat lancar dan tiada masalah pemanasan berlaku. Penggunaan kuasa yang lebih efisien, ciri pintar mod gaming dan rekaan kipas lebih baik berserta kekisi tambahan memberi sumbangan prestasi baik kepada konsol ini.
Skrin 7-inci IPS LCD 120Hz AMD FreeSync Premium masih lagi baik tetapi pada saya ia mengecewakan kerana ianya bukan panel OLED seperti yang dijangkakan. Skrin OLED boleh menawarkan paparan yang. lebih cantik, jelas dan digunakan di luar tanpa silau. Lebih penting sekali OLED menjimatkan penggunaan bateri berbanding LCD.

Kedudukan dan rekaan butang pada Ally X kelihatan sama sahaja dengan konsol asal tetapi sebenarnya menyorokkan satu penambahbaikan yang diperlukan. Pada kayu kawalan analog dan butang, suis Hall Effect digunakan dan ini akan memastikan masalah analog drift yang menghantui alat kawalan Switch, Xbox dan PlayStation tidak akan berlaku.
Pada konsol biasa pengguna boleh membeli alat kawalan baharu apabila masalah muncul. Pada ROG Ally asal kami tidak tahu berapakah kos menggantinya jika ia berlaku. Dengan penggunaan suis Hall Effect, Ally X kini menjadi konsol mudah alih PC kedua selepas MSI Claw menggunakannya.
Saya amat berharap ROG Ally X akan dijual di Malaysia serentak dengan jualan Amerika Syarikat iaitu sekitar bulan Julai kerana sudah tidak boleh sabar untuk kembali aktif dalam bermain permainan video PC.
BATERI DAN PENGECASAN
Bateri 80Wh adalah dua kali ganda lebih besar berbanding Ally asal. Jika sebelum ini ketahanan bateri adalah sekitar dua jam, ASUS menjanjikan Ally X akan bertahan dua kali ganda lebih lama. Saya boleh mengesahkan perkara ini kerana di ibu pejabat ASUS di Taiwan, unit demo yang dikongsi ramai mempunyai baki bateri sekitar 15% selepas sekitar 4 jam dilenjan oleh wakil media. Pengecasan pantas 65W turut dikekalkan cuma kali ini pengecas yang diberikan adalah jenis universal dengan 3x port USB-C dan 1x port USB-A untuk mengecas pelbagai peranti ASUS serentak dengan pantas.

EKOSISTEM AKSESORI
Jika Ally pertama menggunakan satu port USB-C pada XG Mobile, Ally X menggantikannya dengan dua port Thunderbolt-4 dalam betuk USB-C untuk fleksibiliti pengguna. Dengan kata lain, pengguna tidak akan terikat dengan ROG XG Mobile kerana ASUS membenarkan penggunaan dermaga dan eGPU pihak ketiga. Akhir sekali, ASUS turut memberi pengguna kerangka menyimpan konsol tahan lasak.

Satu aksesori yang ASUS tidak dedahkan lagi kepada umum adalah AirVision M1 iaitu jawapan ASUS kepada Lenovo Legion Glasses. Ia merupakan sepasang kaca mata realiti terimbuh (AR) untuk bermain ROG Ally X atau ROG Ally dengan skrin lebih besar tanpa mengusung monitor mudah alih atau menyambungkan konsol ini pada dermaga di televisyen. Tiada butiran jelas mengenai kaca mata ini atau harga jualannya. Harapnya ia lebih murah berbanding Legion Glasses yang berharga RM1819.

KESIMPULAN
Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya perlu uji pada konsol ini untuk menentukan adakah versi baharu ini lebih baik berbanding ROG Ally? Apa yang saya boleh katakan adalah warna hitam adalah amat seksi dan menjadikan konsol ini lebih ranggi. Kemudian, untuk prestasi ia benar-benar lebih pantas dan rasa lebih lancar tetapi masalah pada Windows 11 itu masih dapat dirasai. Ketahanan bateri yang lebih lama adalah antara sebab kenapa konsol ini ada potensi untuk menjadi kegemaran ramai.

Jika ASUS Malaysia ingin menjual Ally X pada harga berbaloi, mereka harus menawarkan berkas aksesori. Setakat ini, langganan Xbox Game Pass 3 bulan disahkan akan diterima. Setakat ini apa yang saya boleh katakan, jika anda tidak aktif bermain permainan video Ally pertama sudah memadai tetapi jika anda ingin aktif dan serius dalam dunia konsol mudah alih Windows, Ally X patut dicuba.
PRO & KELEBIHAN
- Rekaan lebih ergonomik dan berwarna hitam yang tidak mudah kotor.
- Prestasi berganda lebih pantas.
- Kawalan lebih selesa dan tepat.
- Armoury Crate SE 1.5 lebih lancar.
- Sokongan Thunderbolt 4 untuk dermaga/e-GPU pihak ketiga.
- Suis Hall Effect digunakan pada kayu analog dan butang.
KONTRA & KEKURANGAN
- Skrin bukan OLED.
- Rasa berat selepas lebih 10 minit penggunaan.
- Walaupun lebih ergonomik, tiada keunikan pada rekaan.
- Windows 11 masih tidak mesra konsol mudah alih.