Video yang baik mampu menambat hati untuk menontonnya hingga akhir bukan hanya terletak pada paparan visual dalam video semata-mata tetapi audio yang jelas turut memainkan peranan penting. Bayangkan saja jika anda menonton video dengan kejelasan audio yang lemah dan banyak hingar pastinya akan mengecewakan, bahkan menjadikannya tidak lagi menarik untuk ditonton.

Oleh itu, kebolehan sebuah mikrofon yang baik adalah sangat penting agar dapat menyempurnakan penghasilan sesebuah video. Kami di Amanz telah menerima sebuah mikrofon terbaru daripada AnkerWork untuk menilai dan menguji kemampuannya. Setibanya mikrofon ini di makmal Amanz, kami segera menggunakannya untuk beberapa rakaman video bagi menilai kualitinya.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
AnkerWork M650 | |
Jenis | Set mikrofon |
Mikrofon/Pemancar | 2x Mikrofon |
Penerima | 1x Penerima |
Berat | Mikrofon – 30g Penerima – 37g Pod simpanan – 184g |
Bateri | Mikrofon – 560 mAh (6 jam) Penerima – 350 mAh (6 jam) Pod simpanan – 2600 mAh (15 jam) |
Pengecasan | USB-C |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Harga Jualan | RM 1699 |
REKAAN
Rekaan set AnkerWork M650 ini dilihat sedikit berbeza dengan kebanyakan mikrofon yang pernah diuji di makmal Amanz sebelum ini. AnkerWork M650 ini hadir dengan bentuk bulat dimana kedua-duanya adalah pemancar bersama dengan bekas simpanan berbentuk bujur. Kedua-dua mikrofon hadir dalam warna hitam dengan beberapa pilihan penutup yang disertakan. Pada bahagian belakangnya pula terdapat klip dan magnet untuk membolehkannya dipasang pada pakaian.

Klip magnet yang terbina pada bahagian tubuh belakang mikrofon ini dapat ditanggalkan dengan mudah dan pada masa yang sama turut dapat dipasang dengan kukuh pada pakaian tanpa risau ia akan tercabut. Bahagian sentuhan untuk pengecasan pula terletak pada bahagian bawah mikrofon.
Dalam banyak keadaan, klip magnet adalah lebih gemar kami gunakan dalam rakaman kerana ia lebih mudah untuk diletakkan pada baju. Untuk saiznya kami rasakan mikrofon ini agak besar dengan bentuk bulatnya yang menjadikannya terlihat sangat jelas dalam video yang dirakam. Berbeza sekali dengan rekaan mikrofon DJI Mic 2 yang bersaiz lebih kecil serta kompak.

Pada bahagian sisi mikrofon pula terdapat satu butang kuasa merangkap butang sambungan dengan ia berfungsi dengan baik tanpa sebarang isu. Bahagian atas pula menempatkan kekisi untuk speaker bersama lubang bicu audio 3.5mm agar mikrofon jenis levalier dapat disambungkan jika mahu. Selain itu, lubang yang sama turut berfungsi sebagai bicu untuk mencucuk dua penghadang angin berbulu yang disediakan bersama dalam pembelian.
Berat mikrofon adalah 30g dimana ia sedikit lebih berat jika dibandingkan dengan DJI Mic 2 (28g) tetapi pada hemat kami tiada sebarang isu mengenainya kerana ia tidak mendatangkan masalah sepanjang tempoh penggunaan.


Skrin LCD pada unit penerima adalah sebesar 1.47” dengan skrin sesentuh yang dapat mengesan sentuhan dengan baik dan juga responsif. Paparannya juga dirasakan cukup besar dan memperlihatkan semua elemen dalam paparan dengan jelas. Ini sekaligus dapat mengelakkan masalah tersalah tekan menu pada skrin ketika penggunaan.
Oleh itu, saiz penerima yang agak besar ini dapat diterima baik untuk persediaan skrin yang lebih besar. Skrin penerima dapat menunjukkan banyak maklumat seperti status bateri, jumlah pembatalan hingar, kekuatan isyarat dan pelbagai lagi.

“Kasut” pada bahagian bawah tubuh penerima juga boleh ditukar kepada dua jenis sambungan iaitu kepada kamera, USB-C dan Lightning. Proses penukaran adalah mudah tanpa perlu mencabut atau menukarkannya kembali jika ingin dimasukkan ke dalam pod simpanan. Terdapat lubang bicu audio 3.5mm pada bahagian sisi penerima untuk sambungan wayar kepada bicu audio kamera. Di sebelahnya juga terdapat lubang untuk sambungan kabel USB-C yang membolehkan sambungan secara terus pada telefon pintar dapat dibuat.

Rekaan bekas simpanan dengan lekuk pada kedua-dua bahagian kiri dan kanan adalah sedikit berbeza dengan kebanyakan bekas simpanan yang pernah diuji di makmal Amanz sebelum ini dimana kebanyakannya berbentuk segi empat tepat. Namun, tiada isu mengenainya dan bekas simpanannya nampak kemas dan bergaya.
Tubuh bekas simpanan ini pula menggunakan bahan logam yang menjadikannya tampak kukuh. Namun, tidak dinafikan saiz bekas simpanannya adalah agak besar dan tidak sesuai untuk diletakkan di dalam poket. Menurut AnkerWork, keseluruhan mikrofon M650 ini dapat digunakan selama 15 jam bersama bekas simpanan dan 6 jam dengan sekali pengecasan.


Penutup bekas simpanan juga kukuh dan ketat dengan ia memberikan jaminan agar mikrofon yang diletakkan dalam bekas simpanan akan tetap selamat dan tidak mudah terjatuh keluar dari bekas simpanan meskipun jika diterbalikkan. Terdapat juga tiga lampu LED di bahagian depan untuk menunjukkan tahap bateri dan di bahagian belakang terdapat lubang untuk USB-C bagi tujuan pengecasan dan sambungan ke mana-mana peranti seperti telefon atau komputer.
PENGGUNAAN
Sepanjang tempoh penggunaan, kami dapati bahawa AnkerWork M650 ini boleh menghasilkan audio yang cemerlang dengan bentuk bulat yang bergaya. Menggunakannya untuk rakaman video di Amanz, audio yang direkodkan adalah jelas dengan sambungan yang mudah tanpa sebarang isu.

Disebabkan oleh rekaannya bulat, menjadikannya terlihat seakan-akan pin pada baju dan tudung. Klip magnet yang terbina juga kukuh dengan ia tidak mudah tercabut ketika digunakan. Menariknya, sebuah aplikasi untuk menetapkan tetapan mikrofon juga dibina dan boleh dimuat turun dengan mudah menerusi laman web rasmi AnkerWork atau Google Playstore dan Appstore.

Beberapa tetapan yang tersedia dalam perisian ini juga boleh saja ditetapkan pada skrin penerima. Namun, tetapan yang disediakan pada aplikasi adalah lebih pelbagai dengan banyak ciri yang tersedia untuk tetapan penerima seperti ciri Equalizer, Backlight Duration dan tetapan untuk bahasa. Tambahan pula tidak banyak pesaing yang menyediakan ciri ini.
Terdapat juga persediaan fungsi Safe mode yang akan mengehadkan rakaman audio pada tetapan 6dB dan jika bunyi rakaman menjadi kuat tanpa diduga. Tetapan untuk mikrofon pula boleh diubah dengan persediaan beberapa ciri ringkas yang berguna.

Persediaan aplikasi ini kami rasakan mungkin untuk memberikan kebolehan mengubah tetapan dengan paparan skrin yang lebih besar, mudah dan pelbagai.
KUALITI AUDIO
Mengulas tentang kualiti audio menggunakan mikrofon ini, secara keseluruhan adalah sangat baik dengan kejelasan yang cemerlang. Sebagai juru video dan juga penyunting video di Amanz, kami beberapa kali menguji mikrofon ini untuk tujuan penghasilan kandungan. Semasa rakaman dijalankan di dalam studio dengan pendingin hawa terpasang, audio masih lagi kedengaran sangat jelas dan tajam. Meskipun setelah memindahkan hasil rakaman ke dalam komputer untuk suntingan, tidak banyak suntingan audio yang perlu kami lakukan kerana hasil audionya sudah cukup baik.


Walau bagaimanapun, mod pembatalan hingarnya atau disebut sebagai VoiceShield memiliki sedikit ralat dengan ia menghasilkan bunyi audio yang agak aneh. Mod pembatalan hingarnya boleh ditetapkan mengikut tahap rendah atau tinggi. Walaupun menggunakan mod berkenaan pada tahap rendah, bunyi utama audio kedengaran sangat tenggelam sehingga mengubah bunyi sebenar audio semasa rakaman.
Tetapi kami rasakan fungsi ini masih berguna jika rakaman dilakukan di kawasan luar dengan suasana yang bising tapi untuk rakaman dalam studio adalah tidak sesuai. Untuk kejelasan audio yang lebih baik, penggunaan dengan levalier adalah lebih baik.
DALAM KOTAK
2X Mikrofon M650
1X Unit penerima M650
1X Pod pengecas M650
2X Penutup mikrofon yang boleh diganti
1X Kabel AUX
1X Kabel Pengecas USB-A ke USB-C
1X Kabel USB-C
1X Penyesuai Lightning
1X Penyesuai USB-C
1X Kasut untuk kamera digital
2X Penghalang angin berbulu
2X Klip Magnet
1X Beg simpanan kulit

KESIMPULAN
Harga bagi set mikrofon AnkerWork M650 ini adalah RM1699 yang dirasakan agak mahal jika dibandingkan dengan rata-rata pesaingnya di pasaran. DJI Mic 2 misalnya dijual pada harga RM1649 tetapi mempunyai sokongan bluetooth tidak seperti M650. Namun, secara keseluruhan, AnkerWork M650 ini adalah sebuah mikrofon dengan kualiti audio yang cemerlang dengan ia memberikan hasil rakaman audio yang cukup baik untuk penghasilan kandungan video yang lebih sempurna.

PRO
- Sistem rakaman audio yang lengkap.
- Kualiti binaan yang sangat baik.
- Jangka hayat bateri yang tahan lama.
- Kualiti audio yang agak cemerlang.
- Sistem sambungan klip dan magnet yang baik.
KONTRA
- Harga agak mahal.
- Reka bentuk mikrofon agak besar.
- Rekaan bekas simpanan yang besar dan berat.
- Mod pembatalan hingar menghasilkan bunyi yang kurang baik.
- Tiada sokongan Bluetooth.
