Carian
Ulasan DJI Mic 2 – Kelengkapan Audio Perlu Untuk Pempengaruh
April 22, 2024 Effi Saharudin

Kalau anda menonton video di YouTube, saya yakin anda akan dapat melihat DJI Mic digunakan oleh ramai penghasilan kandungan popular. Di Amanz kami menggunakan mikrofon ini sejak setahun lalu kerana ia menawarkan rakaman audio yang baik, mudah digunakan, mudah dibawa dan serasi digunakan dengan pelbagai peranti yang digunakan di makmal Amanz.

Beberapa bulan lalu DJI Mic 2 telah dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan. Saya boleh katakan di awal ulasan ini banyak yang bagus menyelesaikan isu lama tetapi pada waktu yang sama menimbulkan beberapa isu baharu pula. Ini ulasan penuh DJI Mic 2.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

DJI Mic 2
JenisSet mikrofon
Mikrofon/Pemancar2x Mikrofon
GFSK 1 Mbps dan 2 Mbps
Bluetooth BR/EDR
Penerima1x
GFSK 1 Mbps dan 2 Mbps
BeratMikrofon – 28g
Penerima – 28g
Pod simpanan – 200g
BateriMikrofon – 360 mAh (6 jam)
Penerima – 360 mAh (6 jam)
Pod simpanan – 3250 mAh (12 jam)
PengecasanUSB-C
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 1649

REKAAN Dan PENGGUNAAN

Set DJI Mic 2 yang saya ulas terdiri daripada dua mikrofon merangkap pemancar, satu unit penerima isyarat, dan pod pengecas merangkap bekas simpanan untuk pemancar serta penerima. Rekaan mikrofon Mic 2 adalah sangat bergaya kerana ianya lutsinar. Mengingatkan saya kepada Nothing Phone (1) yang mempunyai panel lutsinar yang sama di belakang.

Tiada perbezaan dari segi rekaan mikrofon Mic 2 dengan Mic asal. Masih lagi berbentuk seperti kacang dengan sisi yang dibulatkan. Terdapat butang kuasa, menghidupkan ANC dan juga memulakan rakaman dari jarak jauh. Mikrofon mempunyai klip di bahagian belakang untuk menyematkannya pada baju. Saya lebih selesa menggunakan klip magnet yang juga disertakan kerana ia menyorokkan mikrofon di dalam baju.

Pada bahagian atasnya terdapat kekisi untuk speaker serta satu bicu audio 3.5mm yang membolehkan mikrofon jenis Levalier disambungkan apabila diperlukan. Bicu audio yang sama turut dijadikan bicu untuk mencucuk penghadang angin berbulu (dua diberikan dengan pembelian). Pada DJI Mic asal, penghadang angin ini disambungkan kepada mikrofon menggunakan getah yang mudah tertanggal. Pada model ini penghadang angin mempunyai dua bicu audio 3.5mm plastik yang apabila dicucuk masuk bicu audio. Ia terpasang lebih kemas asalkan tidak ditarik dengan kuat.

Bateri lebih besar membuatkan mikrofon menjadi sedikit tebal tetapi lebih pendek. Sungguhpun begitu ia kini hanya seberat 28 gram berbanding 30 gram pada model sebelum ini. Harus saya katakan tidak dapat merasakan langsung perbezaan berat anda DJI Mic 2 dan DJI Mic apabila di disematkan pada baju.

Perubahan lebih ketara dapat dilihat pada unit penerima yang kini dilengkapi skrin 1.1″ OLED yang lebih besar dan akhirnya mempunyai tombol kawalan berputar. Pasukan video Amanz memberitahu saya pada model asal, skrin kecil (0.9″ OLED) membuatkan sukar untuk mengubah tetapan pada penerima. Dengan tombol ini, jari tidak lagi tersalah tekan menu pada skrin dan juga mengelakkan skrin daripada berminyak.

Bahagian “kasut” penerima boleh ditukar untuk sambungan kepada kamera, USB-C dan Lighthing. Proses menukar kasut adalah mudah dan selepas ditukar, saya boleh memasukkannya semula ke dalam pod simpanan tanpa ia perlu ditukar terlebih dahulu. Pada sisi penerima terdapat bicu audio 3.5mm untuk menyambungnya kepada bicu audio kamera.

Bekas simpanan merangkap pod pengecas tahun ini lebih besar dan nampak lebih bergaya. Tubuh logam mempunyai tekstur kasar yang membuatkannya senang dipegang. Ini adalah perlu kerana bekas simpanan kini lebih panjang dan berat. Bateri dipertingkatkan supaya boleh mengecas mikrofon dan penerima sehingga dua kali berbanding 1.8X sahaja pada DJI Mic asal. Empat lampu LED di bahagian depan menunjukkan tahap bateri pod pengecas. DJI mengatakan secara keseluruhan, set Mic 2 boleh digunakan sehingga 18 jam sebelum perlu dicas semula.

Seperkara lagi yang saya suka dengan bekas simpanan ialah ia kini mempunyai bahagian penyelak yang mengunci bahagian penutup dengan kemas. Penutup hanya boleh dibuka jika penyelak ditekan. Isu saya dengan model pertama ialah penutup akan terbuka menumpahkan kandungan ke lantai jika terjatuh. Dengan selak terbina, saya tak perlu risau kandungan pod pengecas terkeluar secara tidak sengaja di dalam beg galas.

PENGGUNAAN

Mikrofon Mic 2 akhirnya menyokong tambatan secara bluetooth terus pada telefon pintar. Ini ialah ciri yang sangat-sangat saya inginkan. Sebelum ini unit penerima dipasang pada bahagian dagu iPhone dan peranti Android yang saya gunakan untuk merakam vlog. Unit penerima adalah agak besar membuatkan sukar untuk memegang telefon di dalam tangan. Proses tambatan juga mudah tanpa memeningkan kepala.

Tempoh penggunaan mikrofon meningkat ke 6 jam berbanding 5.5 jam. Secara lazimnya selepas digunakan saya simpan semula ke dalam pod pengecas. Sepanjang tempoh ulasan sekitar sebulan, saya hanya pernah mengecas semula pod pengecas ini sebanyak dua kali. Bateri yang digunakan adalah cukup besar untuk penggunaan saya.

Ciri yang saya rasakan paling menarik pada DJI Mic 2 ialah rakaman dua trek audio serentak. Rakaman kedua akan dilakukan pada tetapan audio  -6dB lebih rendah. Jika audio trek pertama pertama pecah, trek kedua ini boleh digunakan bagi menyelamatkan keadaan. Setiap mikrofon juga mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan audio sehingga 14 jam.

Siapa yang pernah merakam video pasti pernah mengalami insiden video dirakam tanpa audio secara tidak sengaja. Jika berlaku perlulah rakaman video dilakukan untuk kali kedua. Ciri rakaman audio terbina dan juga trek kedua pada Mic 2 ini akan adalah amat berguna untuk penghasil kandungan seperti saya.

Yang kurang enak cuma satu sahaja pada hemat saya dan pasukan TV Amanz iaitu pod simpanan DJI Mic 2 yang agak besar. Sebelum ini saya boleh menyimpan pod simpanan DJI Mic dalam poket seluar atau baju sweater. Pod tahun ini terlalu besar sehingga tidak selesa untuk dimasukkan dalam poket. Kerap kali lepas mikrofon dikeluarkan saya perlu memasukkan pod pengecas ke dalam beg.

Proses rakaman video menjadi sedikit leceh berbanding sebelum ini lebih-lebih lagi sekiranya saya melalukan rakaman di luar studio.

KUALITI AUDIO

DJI Mic 2 ialah mikrofon yang digunakan untuk semua video Amanz sejak sebulan lalu menggantikan Mic asal. Audionya padu, jelas, tajam dan berkualiti tinggi. Tidak ada perkara negatif yang boleh saya tulis mengenai kualiti audio kecuali rakaman kedengaran lebih baik jika menggunakan unit penerima berbanding mod bluetooth. Apabila mod ANC dihidupkan pula, audio akan kedengaran sedikit kelam.

Ini ialah isu yang saya alami pada mikrofon-mikrofon lain seperti Hollyland Lark M2. Untuk rakaman audio paling mantap memang saya sarankan unit penerima disambungkan kepada telefon pintar. Sungguhpun begitu jika sekadar untuk rakaman TikTok Live, vlog di media sosial, Stories dan YouTube Shorts saya masih rasakan kualiti rakaman audio dalam mod Bluetooth adalah masih jauh lebih baik berbanding menggunakan mikrofon yang terbina pada telefon pintar.

Rakaman audio juga cukup baik sehingga saya gunakannya untuk beberapa episod podsiar dan rakaman ADR apabila berlaku kesilapan pada skrip iklan yang saya hasilkan untuk Amamz. Secara keseluruhan pada kualiti rakaman audio paling “teruk” DJI Mic 2 adalah masih lebih baik berbanding rakaman menggunakan mikrofon murahan atau mikrofon pada telefon pintar.

DALAM KOTAK

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.

  • 2x Mikrofon DJI Mic 2.
  • 1x Unit penerima DJI Mic 2.
  • 1x Pod pengecas DJI Mic 2.
  • 1x Kabel TRS.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Penyesuai USB-C.
  • 1x Penyesuai Lightning.
  • 1x Kasut untuk kamera digital.
  • 2x Penghalang angin berbulu.
  • 2x Klip magnet.
  • 1x Beg simpanan kulit.

KESIMPULAN

Pada harga RM1649, DJI Mic 2 jatuh ke dalam kategori mahal. Hanya beberapa ratus ringgit lebih murah berbanding mikrofon SteelSeries Alias Pro yang saya ulas semalam. Yang boleh saya katakan ialah kualiti audio yang boleh dirakam menggunakan mikrofon ini adalah sangat memuaskan bukan sahaja untuk penghasil kandungan video di media sosial tetapi jika untuk mereka yang ingin menghasilkan podsiar.

Kekurangan hanyalah pad pod penyimpan yang semakin besar dan berat. Sukar untuk ia dimasukkan ke dalam kocek seluar seperti model terdahulu. DJI turut menjual Mic 2 dengan hanya satu mikrofon dan satu unit penerima pada harga RM989. Masih lagi agak mahal tetapi jika anda mencari mikrofon untuk anda merealisasikan impian menjadi pempengaruh media sosial, DJI Mic 2 saya sarankan kepada anda.

Pro

  • Sistem rakaman audio yang lengkap.
  • Kualiti rakaman audio yang cukup baik.
  • Sokongan bluetooth akhirnya diberikan.
  • Kemasan yang berkualiti tinggi.
  • Hayat bateri yang baik.

Kontra

  • Harga kurang mampu milik.
  • Pod pengecas lebih besar dan berat berbanding model sebelumnya.
Komen