Canon EOS R1 dan EOS R5 Mark II Kini Di Malaysia Pada Harga Bermula RM18,999
Effi Saharudin
Canon Malaysia melancarkan dua kamera nircermin mereka yang menyasarkan penggunaan di kalangan golongan profesinal. Canon EOS R1 ialah model paling mercu dilengkapi sensor bingkai penuh 24.2 MP BSI yang dipadankan kepada cip pemprosesan imej DIGIC X. Dengan penggunaan sensor bingkai penuh, Canon mengatakan sistem autofokus yang lebih pantas dapat dicapai dan pada waktu yang sama mengurangkan isu rolling shutter.

Sensor juga hadir dengan sistem IBIS untuk memastikan kestabilan imej subjek yang ingin diambil. Dalam mod pengatup mekanikal, ia boleh mengambil sehingga 40 bingkai sesaat dalam format RAW dengan penampan sehingga 1000 gambar. Dalam mod pengatup mekanikal pula, sehingga 12 gambar boleh diambil sesaat. Rakaman video pula adalah sehingga 6K dengan pilihan mod 4K/60p Canon C-Log2 10-bit.
Terdapat sistem Eye Control AF dimana kamera boleh mengubah fokus kamera berdasarkan objek yang dipandang jurufoto menerusi EVF. EVF pula ada adalah dari jenis OLED dengan 9.44 juta titik.

Canon EOS R5 Mark II pula adalah model kemas kini kepada EOS R5 yang dilancarkan pada tahun 2020. Ia hadir dengan sensor bingkai penuh 45MP BSI yang dipadankan juga dengan cip pemprosesan imej Digic X. Walaupun sensor hanya sebesar 45MP, gambar JPEG sehingga 179MP boleh diambil menerusi sistem penaiktarafan bantuan kecerdasan buatan.
Seperti EOS R1, EOS R5 turut mempunyai sistem Eye Control AF dan juga ciri Register People Priority. Wajah individu yang ingi diberikan kepentingan fokus boleh disimpan oleh kamera. Oleh itu apabila rakaman video dilakukan, wajah mereka akan sentiasa diberikan kepentingan untuk difokus walaupun dalam sekumpulan manusia.

Kamera mampu melakukan rakaman video 8K DCI 60p RAW tetapi terhad bergantung kepada suhu kamera. Menerusi sistem kipas penyejuk yang dijual berasingan, rakaman 8K DCI 60p RAW sehingga 120 minit pula boleh dilakukan. Rakaman 4K 60p boleh dilakukan tanpa had.
Di Malaysia Canon EOS R1 dijual pada harga RM 29,999 hanya untuk tubuh manakala Canon EOS R5 Mark II pula dijual pada harga RM 18,999 hanya untuk tubuh. Walaupun harga sudah diumumkan, jualan hanya akan dilakukan pada musim luruh.