Carian
Redmi K70 Ultra Dilancarkan Dengan Dimensity 9300+ dan Versi Lamborghini
July 19, 2024 Effi Saharudin

Selain dua peranti skrin lipat Xiaomi MIX, tidak dilupakan peranti lebih mampu milik Redmi K70 Ultra yang dilengkapi cip berkuasa Dimensity 9300+. Versi Ultra adalah lebih berkuasa berbanding Redmi K70 yang dilancarkan pada November tahun lalu.

Redmi K70 Ultra hadir dengan skrin 6.67″ OLED 144Hz yang menyokong paparan Dolby Vision. Cip Dimensity 9300+ dipadankan dengan cip gaming D1 yang menurut Xiaomi boleh meningkatkan kadar bingkai dalam permainan seperti Honkai Star Rail. Bagi memastikan prestasi yang stabil, kebuk penyejuk turut disertakan sekali.

Seterusnya memori adalah sehingga 24GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri 5500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Kerana tubuh peranti diperbuat daripada logam, malang sekali K70 Ultra tidak menyokong pengecasan nirwayar.

Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 50MP Sony IMX906, lensa ultra lebar 8MP dan lensa mikro 2MP. Di hadapan pula sensor 20MP digunakan pada kamera swafoto. Peranti boleh melakukan rakaman video sehingga 8K 30p.

Peranti dengan sistem operasi Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14 ini juga dilengkapi pengimbas cap jari bawah skrin, pemancar infra merah, speaker stereo dan kemampuan kalis air IP68.

Redmi K70 Extreme Champion Edition AUTOMOBILI LAMBORGHINI SQUADRA CORSE turut ditawarkan dengan ia hadir dengan rekaan lebih agresif seperti sebuah kereta lumba dan juga dua warna khas oren serta hijau. Di China harga jualan Redmi K70 Ultra adalah seperti di bawah.

  • Redmi K70 Ultra (12/256GB) – RMB 2599 (~RM 1672)
  • Redmi K70 Ultra (12/512GB) – RMB 2899 (~RM 1866)
  • Redmi K70 Ultra (16/512GB) – RMB 3199 (~RM 2059)
  • Redmi K70 Ultra (16/1000GB) – RMB 3599 (~RM 2316)
  • Redmi K70 Ultra Lamborghini (24/100 GB) – RMB 3999 (~RM 2574)

Komen