Samsung boleh dikatakan antara yang bergerak awal dalam memperkenalkan sejumlah rekaan telefon pintar baharu. Selepas mempopularkan rekaan telefon bersaiz besar melalui siri Galaxy Note, mereka juga turut mempopularkan telefon boleh-lipat dan juga boleh-katup. Kini, melalui sebuah temuramah bersama media Australia, Samsung turut berkongsi mengatakan sedang melihat kepada sebuah telefon generasi baharu memfokuskan kecerdasan buatan.
Peranti AI berkenaan dijangka akan kelihatan jauh berbeza berbanding telefon sedia ada di pasaran. Telefon berkenaan dijangka akan menyertakan lebih banyak sensor padanya, selain mungkin menawarkan nisbah saiz yang berbeza berbanding pada hari ini.

Untuk makluman, sebelum ini terdapat dua pengeluar yang hadir dengan “peranti AI” – iaitu Humane AI dan juga Rabbit – namun, kedua-duanya boleh dikatakan agak gagal dan kurang berjaya.
Buat masa ini, ia tidak diketahui apakah pembaharuan dari segi rekaan dan penggunaan yang bakal dibawakan oleh Telefon AI ini. Samsung sendiri sedia menerajui dalam arena integrasi kecerdasan buatan pada telefon pintar melalui Galaxy AI.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan apakah kejutan dan pembaharuan yang bakal ditawarkan oleh Samsung melalui peranti AI mereka kelak.