Cara Mohon Bantuan Kewangan BINGKAS Selangor Sebanyak RM300 Menerusi Aplikasi SELANGKAH
Rihhadatul Aisy
BINGKAS dalam aplikasi Selangkah adalah singkatan daripada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor. Ini adalah program bantuan yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor dengan ia merupakan salah satu inisiatif untuk membantu keluarga berpendapatan rendah di Selangor. Melalui BINGKAS, setiap keluarga penerima akan menerima bantuan RM300 setiap bulan selama 24 bulan.

Bantuan ini diberikan melalui BINGKAS Wallet yang diintegrasikan dalam aplikasi Selangkah. Permohonan kini dibuka sehingga 15 Ogos 2024 ini, walau bagaimanapun terdapat beberapa kriteria kelayakan yang perlu disemak terlebih dahulu di laman web rasmi bingkas sebelum permohonan dibuat bagi membolehkan bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang benar-benar layak.
Antara syarat utama kelayakan ialah pemohon perlu memiliki kewarganegaraan Malaysia, dilahirkan di Selangor atau telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun dan memiliki sekurang-kurangnya dua tanggungan di bawah usia 18 tahun. Justeru itu, ini kami kongsikan langkah-langkah untuk memohon bantuan kewangan BINGKAS Selangor.
- Muat turun aplikasi SELANGKAH di Apple App Store ataupun Google Play Store.

2. Setelah proses muat turun selesai, buka aplikasi SELANGKAH dan tekan butang Sign In / Sign Up.
3. Proses pendaftaran bermula dimana anda perlu memasukkan beberapa maklumat seperti nama penuh, nombor telefon, kata kunci dan pilihan bahasa aplikasi yang dimahukan dan ‘tick’ pada kotak kecil di bawah sebagai tanda anda bersetuju untuk pernyataan privasi dan syarat penggunaan aplikasi.
4. Seterusnya, tekan butang ‘Minta OTP’ dan masukkan nombor OTP yang dihantar. Kemudian, tekan butang ‘Seterusnya’.

5. Selepas itu, tekan butang ‘Buat Permohonan’.
6. Setelah itu, anda akan diminta untuk mengisi semua butiran peribadi, butiran kediaman, butiran perhubungan dan butiran perkahwinan. Sahkan semua maklumat, kemudian tekan butang ‘Hantar’.
7. Seterusnya, isi pula maklumat dalam bahagian butiran pekerjaan dan butiran pendapatan seperti maklumat nama majikan, no telefon majikan dan pendapatan peribadi bulanan.

8. Halaman seterusnya memerlukan pemohon mengisi maklumat anak seperti nama, tarikh lahir, hubungan, umur, dan salinan dokumen pengenalan bersama jumlah pendapatan bulanan isi rumah.
9. Pada halaman seterusnya, pemohon perlu menandakan kotak senarai bantuan kewangan bulanan lain yang sedang diterima.
10. Kemudian, pemohon perlu memuat naik beberapa dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan slip gaji yang telah disahkan dan salinan bukti pemilih berdaftar di Selangor.

11. Akhir sekali, pemohon diminta untuk menanda perakuan perjanjian yang memperakui semua maklumat yang diberikan adalah benar sebelum dihantar. Kemudian tekan butang ‘Hantar’.

Setelah pemohon selesai mengisi semua maklumat yang dikehendaki, permohonan akan diproses selama 14 hari dan sekiranya berjaya, notifikasi akan diberikan menerusi aplikasi SELANGKAH. Dana yang diterima kelak boleh digunakan untuk membeli barang-barang keperluan seperti bekalan makanan,menampung kos pendidikan dan juga pengangkutan.