SearchGPT Dilihat Memberikan Jawapan Yang Kurang Tepat Pada Demo Carian
Aman
OpenAI hari ini telah mengumumkan enjin carian mereka tersendiri, dinamakan SearchGPT. Melaluinya, ia melihat kepada arena web dalam mendapatkan jawapan, sekaligus membolehkan ia memberikan respon menggunakan data dan informasi semasa – sekaligus tidak terikat dengan data lama seperti ChatGPT.

Produk berkenaan masih dilabelkan sebagai prototaip pada hari ini, dan masih belum ditawarkan kepada umum. Namun, perkongsian rakaman demo untuk SearchGPT tersebut sendiri dilihat membawa kepada kesilapan informasi dan paparan.
Seperti ramai sedia maklum, pelbagai perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan – dan Google sendiri turut telah terlibat dengan masalah lebih kurang sama, dimana info yang dipaparkan adalah tidak tepat. Perkara ini dinamakan sebagai kecerdasan buatan berhalusinasi – sekaligus membawa kepada jawapan yang kurang tepat atau salah sepenuhnya. Malah, ChatGPT sendiri sebelum ini telah dilihat berhalusinasi dengan pautan palsu untuk sumber artikel – dimana ia menjana dan menghasilkan pautan yang tidak wujud dalam arena web.
Ia tidak diketahui berapa lamakah masalah ini akan berulang. Mungkin penggunaan produk seperti SearchGPT dan lain akan mengambil masa yang sangat lama sebelum digunakan meluas, memandangkan jawapan yang diberikan tidak diketahui lagi sepenuhnya kesahihannya.