Ulasan Samsung Galaxy Z Flip6 – Fon Katup Paling Cukup
Fahim Zahar
Saya adalah seorang pengguna yang suka melakukan multi-tugasan pada telefon pintar. Apabila saya mula menggunakan telefon dengan skrin boleh-lipat, tidak sampai 10 kali pun saya gunakan ciri multi-tugasan dan itu pun hanya untuk flex dengan rakan-rakan atau keluarga. Ini membuatkan saya beralih kepada telefon boleh-katup. Tahun ini saya menguji Samsung Galaxy Z Flip6 yang mana satu iterasi yang sedikit lebih baik berbanding Galaxy Z Flip5
SPESFIKASI & REKAAN
| Samsung Galaxy Z Flip6 5G | |
|---|---|
| Skrin | Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.4″ Super AMOLED, 720 x 748, 60Hz |
| Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (4nm) |
| Cip | 1x 3.39GHz Cortex-X4 3x 3.1GHz Cortex-A720 2x 2.9GHz Cortex-A720 2x 2.2GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Adreno 750 1GHz |
| RAM | 12GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 512 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50 Megapixel f/1.8, OIS 12 Megapixel f/2.2 |
| Kamera Swafoto/Kamera Dalaman | 10 Megapixel f/2.2 |
| Bateri | 4000mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 10W Pengecasan berbalik 4.5W |
| SIM/Telefoni | Nano/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP48 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | RM4,999 (12/256 GB) RM5,599 (12/512 GB) |
Spesifikasi peranti masih lebih kurang sama dengan Galaxy Z Flip5. Perbezaan paling ketara adalah pada cip pemprosesan yang kini menggunakan Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy, kamera 50MP berbanding 12MP serta bateri sedikit lebih besar iaitu 4000mAh. Lain-lain perubahan banyak pada perisian melalui One UI 6.1.1.

Rekaan peranti juga masih lebih kurang sama, ia adalah rekaan yang saya sangat suka pada Flip5. Cuma dengan Xiaomi MIX Flip mempunyai rekaan skrin luar menyeluruh membuatkan saya rasa cemburu Samsung hanya mengitar semula rekaan yang sama. Cover Screen berbentuk folder, butang aras suara dan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari di sisi kiri, serta skrin dalam yang kesan lipatannya semakin kurang kelihatan.

Amat jarang skrin OLED Samsung mengecewakan saya, lagi-lagi untuk peranti mercu. Z Flip6 masih menggunakan skrin dalam yang sama iaitu FHD+ bersaiz 6.7″ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia cukup baik, pantas dan hebat kerana mampu memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Cuma untuk warna ia terhad kepada HDR10+ yang untuk sesetengah orang sudah mencukupi tetapi untuk saya, saya lebih selesa dengan piawaian Dolby Vision kerana warna yang lebih sedap mata memandang. Apabila menatal dan skrin menyentuh bahagian tengah, kesan lipatan tidak begitu terasa lagi.

Untuk Cover Screen, Flex Window kini sedikit lebih fleksibel. Google Maps telah tersedia secara lalai, cuma jika menggunakan Good Lock kini Google Wallet boleh digunakan dengan prestasi pantas sama seakan Samsung Wallet. Google Gemini juga boleh digunakan di skrin ini yang mana agak menarik cuma saya tidak menggemarinya kerana beberapa teks sukar untuk dibaca.

BIOMETRI
Samsung Galaxy Z Flip6 mempunyai sistem biometri yang bagus. Imbasan cap jari yang sangat pantas walaupun jari saya kotor dan berpeluh. Ia adalah satu perkara yang saya sangat hargai. Cuma saya harapkan generasi seterusnya menggunakan pengimbas cap jari di bawah skrin untuk pengesahan identiti yang lebih efisien.
PENGGUNAAN, ONEUI 6.1.1 & GALAXY AI
Seperti yang saya katakan di atas, banyak perubahan drastik pada peranti ini adalah melalui OneUI 6.1.1. Perubahan ini lebih kepada ciri kecerdasan buatan generatif mereka iaitu Galaxy AI. Apa yang saya pernah katakan pada Flip5 seperti Flex Mode yang lebih baik, prestasi yang lebih lancar, Cover Screen yang semakin hebat dan kemas kini sehingga 7 tahun masih boleh didapati pada Flip6.

Jadi apa yang menarik pada OneUI 6.1.1 ini? Sudah semestinya ciri AI baharu mereka. Pertama yang saya sangat gemari adalah Intepreter di mana Cover Screen boleh menjadi paparan memaparkan bahasa asing dan skrin dalam akan memaparkan terjemahan perbualan. Ini sangat memudahkan saya untuk berkomunikasi apabila ditugaskan ke luar negara.

Saya juga sangat sukakan ciri AI yang boleh mencadangkan teks untuk dibalas pada aplikasi pemesejan. Ciri ini adalah pada Cover Screen di mana apabila notifikasi ditekan ia tidak akan buka aplikasi tersebut, sebaliknya Galaxy AI akan membaca 10 teks terakhir untuk memahamkan konteks sebelum cadangan teks dijana. Saya turut menggemari Chat Assist serba baharu yang tidak lagi terhad kepada papan kekunci. Ia kini mempunyai antaramuka tersendiri untuk menjana teks dalam pelbagai tona.

Ciri AI yang saya tidak berhenti gunakan adalah pada aplikasi Gallery, iaitu Sketch to image. Dalam mana-mana gambar, saya boleh lakar sesuatu dan ia akan menjana objek baharu berdasarkan konteks gambar dan ia cuba memahami apakah yang dilakar walaupun buruk. Haiwan, pakaian dan tumbuh-tumbuhan biasanya realistik siap dengan kesan bayang-bayang. Kemudian adalah Portrait Studio yang mengesan wajah dalam gambar dan boleh menjana imej potret dalam bentuk kartun 3D, lakaran dan banyak lagi.

Sepanjang penggunaan saya untuk sekitar satu bulan, satu masalah lengah masa langsung tidak berlaku. Pilihan Samsung menggunakan 12GB RAM adalah keputusan bijak. Saya juga tidak lagi pening kepala memilih gambar latar kerana semua dijana dengan AI. Bukan itu sahaja, ciri kustomasi pada OneUI turut mirip peranti Pixel. Jika tidak menggemarinya, gedung tema masih dikekalkan untuk membeli pelbagai tema berbeza atau pek ikon.
PENANDA ARAS
Memang benar, di atas kertas Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy adalah lebih berkuasa berbanding versi biasa. Ia lebih dekat dengan Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version. Walaupun begitu, sistem OneUI yang berat tidak mampu memaparkan skor yang tinggi pada aplikasi penanda ara. Untuk ulasan ini saya bandingkan dengan Galaxy Z Fold6 dengan cip yang sama, Sony Xperia 1 VI dan OnePlus 12 dengan Snapdragon 8 Gen 3 biasa.

AnTuTu 3D
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 1,361,432
- OnePlus 12 – 1,579,634
- iQOO 12 – 2,075,821
- Xiaomi 14 – 1,773,520
Geekbench 6
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 2,061/5,760
- OnePlus 12 – 967/5020
- iQOO 12 – 2181/6631
- Xiaomi 14 – 1741/6313
3DMark – Wild Life Extreme
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 4,574
- OnePlus 12 – 4632/27.74 FPS
- iQOO 12 – 5045/30.22 FPS
- Xiaomi 14 – 4499/26.94 FPS

Bermain permua pada peranti ini juga memuaskan. Marvel SNAP, Asphalt Legends Unite (versi baharu Asphalt 9) dan juga Call of Duty Mobile apabila dimainkan untuk dua jam secara berterusan langsung tiada masalah pemanasan. Ia cukup pantas dan lancar serta apabila kembali ke skrin utama, tiada lengah masa atau sistem tergendala berlaku. Oh ya, satu lagi kelebihan Flip6 dalam gaming adalah apabila saya marah kerana kalah saya akan cuba patahkan peranti – nasib baik ia boleh dilipat dan tiada sebarang kerosakan berlaku.
KAMERA
Selepas bertahun mengadu kepada Samsung kenapa masih menggunakan kamera 12MP pada Flip, tahun ini mereka mendengar keluhan saya dan menyertakan kamera 50MP. Ia sangat berguna, cukup cantik dan lebih berkualiti tingi. Lagi-lagi dengan ciri Auto Zoom yang menarik dalam mod FlexCam.

Kualiti pula bagaimana? Sensor utama 50MP pada Flip6 adalah lebih kurang sama pada S24+. Saya tidak pasti apa yang Samsung lakukan pada algoritma kamera, mata saya melihat kualiti pada S24+ adalah lebih baik berbanding Flip6. Lebih-lebih lagi pada waktu malam, lain-lain adalah lebih kurang sama. Anda boleh lihat sampel di bawah dan beri pendapat di ruangan komen.











VIDEO
Untuk peranti Android, Samsung Galaxy dan Google Pixel adalah antara yang mempunyai kemampuan rakaman video yang baik dan stabil. Galaxy Z Flip6 juga begitu dengan menyokong rakaman 4K tetapi yang saya suka adalah Instant Slow-mo di mana, lakukan rakaman video biasa kemudian tekan dan tahan pada imej kenit untuk ia menjana video gerak perlahan.
TELEFONI DAN GPS
Saya turut tidak pasti ini adalah masalah perisian atau ada sesuatu yang tidak kena pada antena Galaxy Z Flip6. Sambungan data mudah alih adalah lebih lemah berbanding Z Flip5. Saya kerap menerima rangkaian 4G di kawasan 5G, sedangkan iPhone yang capaian rangkaiannya teruk pun boleh menerima 5G yang stabil. Sambungan WiFi juga saya sedari sedikit perlahan berbanding peranti Android lain dalam kelas sama. Saya menyelesaikan isu ini dengan reset semula tetapan rangkaian.
BATERI
Fuhhh, ini yang saya sangat banggakan. Walaupun bateri hanya 300mAh lebih besar daripada generasi lepas, ketahanannya agak luar biasa. Untuk penggunaan selama 22 jam secara berterusan, SOT boleh bertahan sehingga 5 jam. Penggunaan ringan tiada masalah untuk mencapai sehingga 7 jam SOT dan penggunaan lebih ekstrem turut boleh memberi ketahanan menghampiri 6 jam SOT. Tahun lepas ia hanya bertahan sehingga 5 jam SOT sahaja.

Ya, tempoh pengecasan masih mengecewakan kerana terhad kepada 25W. Samsung turut memberikan pengecasan nirwayar dan nirwayar berbalik tetapi saya jarang menggunakannya. Saya harap sangat, untuk Flip sekurang-kurangnya menyokong 45W kerana saya tiada masa menunggu sehingga 90 minit untuk dicas sehingga penuh – sedangkan peranti lain dalam 30 minit sudah selesai.

AUDIO
Saya turut ada sedikit masalah pada bahagian audio. Speaker stereo yang lebih kurang sama pada Flip5, termasuk dengan sokongan Dolby Atmos. Entah kenapa, telinga saya mendengar audio yang kurang enak seperti kekurangan bass dan ia tidak konsisten dengan kejap seimbang dan sekejap tidak. Saya turut kembali menghidupkan Flip5 dan ternyata benar, telefon katup generasi lepas ini mempunyai audio yang lebih enak. Saya yakin ini adalah masalah perisian dan sangat mengharapkan ia akan dibaiki kerana say ingin jadikan Flip6 saya sebagai telefon harian.
PESAING
| Samsung Galaxy Z Flip6 5G | Nubia Flip 5G | Xiaomi MIX Flip |
| Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.4″ Super AMOLED, 720 x 748, 60Hz | Dalam – 6.9″ OLED, FHD+, 120Hz Luar – 1.43”, OLED, 466 x 466, 60Hz | Dalam – 6.8″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ Luar – 3.26″ AMOLED, 382 x 720, 60Hz |
| Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (4nm) 1x 3.39GHz Cortex-X4 3x 3.1GHz Cortex-A720 2x 2.9GHz Cortex-A720 2x 2.2GHz Cortex-A520 | Snapdragon 7 Gen 1 (4nm) 1x 2.4 GHz Cortex-A710 3x 2.36 GHz Cortex-A710 4x 1.8 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1x 3.3 GHz Cortex-X4 3x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 3.0 GHz Cortex-A720 2×2.3 GHz Cortex-A520 |
| Adreno 750 1GHz | Adreno 644 | Adreno 750X |
| 12GB LPDRR5X | 8GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDDR5 |
| 512 GB UFS 4.0 | 256GB UFS 5.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama), OIS 12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama) 2MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.7, OIS (utama) 50MP, f/2.0 (telefoto 2x optikal) |
| Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 16-Megapixel | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 |
| IP48 | Tiada | Tiada |
| Tiada bicu audio | Tiada | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4000 mAh (Berwayar 25W) | 4310 mAh (Berwayar 33W) | 4780 mAh (Berwayar 67W) |
| RM4,999 (12/256 GB) RM5,599 (12/512 GB) | RM2,499 (8/256 GB) | Bermula RMB 5,999 (~RM3,703) |
KESIMPULAN
Hampir semua generasi telefon dengan skrin boleh-katup telah saya cuba jadikan sebagai peranti harian. Tahun lepas, Flip5 saya katakan sebagai fon flip yang tak flop tahun ini Flip6 saya akan katakan ini adalah fon katup yang paling cukup. Kamera 50MP yang lebih cantik, Galaxy AI yang semakin sempurna dan paling menarik adalah ketahanan bateri yang menakjubkan.

Prestasi cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy mungkin tidak sepantas peranti Snapdragon 8 Gen 3 lain tetapi memori 12GB RAM pada Flip6 menjadikan peranti ini lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian. Beli sekarang pada harga bermula RM4,999 ia boleh bertahan sehingga 7 tahun. Ini bermakna anda hanya berbelanja sekitar RM2 untuk penggunaan selama lebih 2500 hari, sangat berbaloi!.
Pro
- Skrin yang cantik dan menarik.
- Prestasi yang lebih dari mencukupi.
- Galaxy AI semakin pandai.
- Bateri yang sangat tahan lama.
- Peranti tidak mudah memanas.
- Lebih banyak ciri dan fungsi tambahan AI generatif.
Kontra
- Rekaan tidak secantik fon katup pesaing.
- Cover Screen dan FlexWindow ada had penggunaan.
- Kamera agak lemah pada waktu malam.
- Speaker tidak enak seperti Galaxy Z Flip5.
- Pengecasan yang agak perlahan.
