Nothing dilihat berkongsi satu lagi ciri utama pada peranti baharunya iaitu Phone (2a) Plus. Nothing mengesahkan peranti tersebut akan menampilkan kamera swafoto sebesar 50MP. Sekaligus menjadi peningkatan lebih baik berbanding kamera swafoto 32MP yang digunakan pada Nothing Phone (2a) sebelum ini.

Bersama-sama dengannya peranti juga dipadankan dengan dua lagi sensor 50MP di belakang dengan rekabentuk peranti yang masih belum diperincikan sepenuhnya setakat ini. Namun poster rasmi yang dimuatnaik seakan memberi bayangan elemen yang serupa dengan model standard turut boleh dikekalkan di sini. Ini bermakna peranti juga berpotensi menawarkan sistem LED Glyph unik yang sedia digunakan sejak peranti generasi pertama.
Terdahulu, Nothing Phone (2a) Plus turut disahkan menggunakan cip Mediatek Dimensity 7350 Pro dengan pilihan memori 12GB RAM dan 8GB RAM Booster yang membolehkan kapasiti telefon diperluaskan sehingga 20GB RAM keseluruhannya. Nantikan pelancaran rasminya esok iaitu 31 Julai 2024 untuk ketahui lebih lanjut penawaran pada peranti ini.