Raiz Mengumumkan Penamatan Operasi Di Malaysia Menjelang 30 September 2024
Aman
Raiz kini memaklumkan semua pengguna mereka melalui emel, menyatakan Raiz akan menghentikan operasi di Malaysia. Selari dengannya, pengguna diminta untuk mengeluarkan wang daripada akaun Raiz.
Untuk makluman, sebelum ini pihak Raiz di Australia telah menyatakan akan menamatkan operasi di Malaysia, dan kini pihak Raiz di Malaysia secara rasminya memaklumkan berkenaan perkara ini kepada pelanggan-pelanggan di Malaysia.

Menurut Raiz, bermula 2 September 2024 kelak, pengguna tidak boleh lagi membuat sebarang pelaburan atau menukar portfolio pelaburan masing-masing. Pengguna hanya boleh melakukan pengeluaran sahaja bermula 2 September 2024.
Dan sebarang baki akaun yang tidak dikeluarkan pada 20 September 2024, akan dikeluarkan secara automatik ke akaun pengeluaran yang telah ditetapkan pada akaun masing-masing. Raiz menyatakan wang yang dikeluarkan akan masuk ke akaun yang ditetapkan dalam tempoh 7 hari bekerja selepas pengeluaran dibuat.
Pihak Raiz menyasarkan untuk menyelesaikan pelbagai perkara berkenaan pengeluaran dan pengendalian aset pelanggan ini menjelang 30 September 2024 kelak. Bagi anda yang menggunakan Raiz boleh melakukan pengeluaran dari akaun anda, dan pihak Raiz turut mengalakkan penggunaan platform myASNB untuk pelaburan lanjutan.