Apple Watch SE Dilaporkan Diperbuat Daripada Plastik Untuk Kanak-Kanak
Effi Saharudin
Di peringkat awal kewujudannya, Apple Watch ditawarkan dengan tubuh aluminium, besi tahan karat dan juga saduran emas sebelum tiba dengan versi titanium pada Ultra. Kini menurut laporan Bloomberg, Apple Watch SE baharu akan dilancarkan dengan tubuh yang diperbuat daripada plastik pula.

Ini adalah kerana Apple Watch SE bahar ini akan menyasarkan penggunaan di kalangan kanak-kanak dan dengan tubuh plastik ia boleh ditawarkan dalam warna-warna yang lebih ceria. Ini adalah mirip seperti yang dilakukan pada siri iPhone 5C lebih 10 tahun yang lalu. Pada waktu yang sama jam ini boleh ditawarkan pada harga lebih mampu milik sekaligus meningkatkan jualan.
Sebagai seorang bapa, saya amat teruja dengan ura-ura ini kerana sudah lama mencari alternatif kepada Apple Watch yang ingin diberikan kepada anak di sekolah. Apple Watch sedia ada terlalu mahal untuk diberikan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Jam tangan pintar untuk kanak-kanak di pasaran pula tidak menyokong ekosistem Apple dan rekaannya pula kurang menarik.