Meta yang merupakan sebuah syarikat induk bagi Facebook dan Instagram, dilaporkan sedang berunding dengan beberapa orang selebriti Hollywood bagi mendapatkan hak untuk menggunakan suara mereka untuk projek MetaAI. Meta akan menawarkan bayaran jutaan dolar kepada selebriti ternama Hollywood seperti Judi Dench, Awkwafina dan Keegan-Michael Key untuk meminjam suara mereka dalam rangkaian alatan AI yang ingin dibangunkan syarikat berkenaan.
Pembangunan projek AI dengan pembantu suara yang dikuasakan AI yang memiliki suara selebriti ini dilihat dapat mencipta pengalaman penggunaan yang lebih menarik. Selain itu, penggunaan suara selebriti dalam projek AI ini juga sekaligus dapat membezakan Meta daripada pesaingnya seperti Apple (Siri) dan Google (Google Assistant). Sebelum ini pembantu maya dengan suara selebriti seperti MrBeast, dan Snoop Dogg ditawarkan kepada pengguna Instagram tetapi ciri ini ditamatkan minggu lalu.
Langkah Meta ini juga dilihat sebagai sebuah gambaran kepada masa depan AI yang semakin diintegrasikan agar menjadi lebih baik dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, implikasi dan kesan sosial yang lebih luas akibat penggunaan suara selebriti dalam AI ini haruslah dikaji dengan lebih mendalam lagi agar tidak memberikan kesan negatif pada masa akan datang.
Buat masa ini, masih belum ada persetujuan yang dicapai, namun menarik untuk kita nantikan hasil rundingan ini dan juga kesannya terhadap masa depan AI dan industri hiburan kelak.