Ulasan Nubia Music – Sekadar Speaker Pintar Dengan Selular
Effi Saharudin
Semua pengeluar mempunyai gimik tersendiri untuk menjual peranti. Banyak menggunakan gimik prestasi kamera yang baik seakan sebuah DSLR. Tahun ini gimik kegemaran ialah “Peranti AI” dengan ciri kecerdasan buatan yang terbina pada setiap peranti. Nubia Music ialah peranti yang menggunakan gimik unik kemampuan audio yang baik tetapi pada harga mampu milik. Adakah gimik ini mencukupi untuk membuatkan anda membelinya? Ini ulasan penuh saya untuk Nubia Music.

SPESIFIKASI
| Nubia Music | |
|---|---|
| Skrin | 6.6″ IPS LCD, HD+, 90HZ |
| Pemproses | Unisoc SC9863A (28mm) |
| Cip | 4 X 1.6 GHz Cortex-A55 4 X 1.2 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | IMG8322 |
| RAM | 4GB RAM 4GB Maya |
| Muatan Dalaman | 128GB Mikro SD 1TB |
| Kamera Utama | 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) Kamera AI |
| Kamera Swafoto | 5MP |
| Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 10W |
| SIM/Telefoni/Radio | Dwi Nano/4G Radio terbina |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | dua bicu audio |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi Wajah |
| Harga Jualan | RM 389 (4/128 GB) |
SKRIN
Skrin 6.6″ IPS LCD dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula sekadar 90Hz. Ini meletakkannya pada tahap permulaan kerana bukan sahaja dari jenis LCD tetapi tanpa sebarang kemampuan memaparkan kandungan HDR. Anda masih boleh menikmati kandungan FHD dengan memaksanya pada tetapan YouTube misalnya tetapi kandungan Netflix sekadar terhad pada resolusi SD sahaja kerana pemproses yang kurang berkuasa serta skrin yang tidak beresolusi tinggi.

Panel LCD membuatkan sudut pandangan agak terhad dan tidak begitu jelas di bawah sinaran matahari yang terik. Ia juga menyebabkan pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian sisi terbina pada butang kuasa sahaja. Walaupun panel boleh menyokong kadar segar semula sehingga 90Hz, saya rasakan animasi tidak begitu lancar kerana pemproses kelas permulaan serta saiz RAM yang agak rendah.
Sistem haptik juga dari jenis lama yang memberikan getaran yang tidak begitu memuaskan. Pendek kata serba serbi mengenai skrin Nubia Music menunjukkan ia memang sebuah peranti kelas permulaan.
BIOMETRI
Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sebelah kanan bingkai. Permukaan butang adalah agak kecil dan imbasan yang dilakukan adalah agak perlahan berbanding peranti-peranti lain yang pernah diulas oleh saya di Amanz. Sistem imbasan wajah juga diberikan dengan ia boleh menyahkunci peranti dalam masa sekitar satu saat sahaja.

REKAAN
Tubuh peranti terdiri daripada bingkai logam yang kukuh dipadankan dengan panel belakang diperbuat daripada kaca. Sisi peranti mempunyai rekaan rata yang membuatkan ia selesa dalam genggaman tangan. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Walaupun Music ialah sebuah peranti mampu milik, butang yang digunakan sangat selesa ditekan. Tidak terasa seperti sebuah peranti murahan.

Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C. Pada siri kiri pula terdapat talam untuk dua SIM nano dan juga kad mikro SD. Talam adalah dari jenis hibrid yang hanya membenarkan satu SIM digunakan apabila kad mikro SD digunakan. Sementara di bahagian atas terdapat dua bicu audio 3.5mm yang membolehkan dua fon kepala berwayar digunakan serentak. Ini ialah keunikan pertama Music dan satu lagi keunikan ialah speaker besar diletakkan di panel belakang.

Speaker dengan diameter 1.5″ ini hanya menyokong audio mono. Ia diletakkan bersebelahan dua lensa kamera yang tidak begitu menonjol. Panel belakang yang sama mempunyai rekaan corak geometri yang seakan lukisan seni moden Piet Mondrian. Harus saya katakan rekaan panel ini adalah menarik dan membuatkan peranti kelihatan unik. Satu ciri yang tidak disertakan pada peranti ini ialah tiada sebarang piawaian kalis air ataupun debu diberikan oleh pihak Nubia.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Menggunakan Nubia Music adalah seperti kembali ke 10 tahun yang lalu kerana itulah tahap kelancaran peranti. Memberikan saya pengalaman seperti menggunakan Motorola Moto G kerana masa membuka aplikasi yang perlahan, sukar membuka banyak aplikasi serentak dan ada aplikasi yang tidak boleh dilancarkan terus. Ini semua disebabkan oleh pemproses yang tidak berkuasa dan RAM yang kecil.

Lagi markah dipotong kerana Nubia Music menggunakan sistem operasi MyOS 13 berasaskan Android 13. Sudah lama juga saya tidak mengulas peranti 2024 dengan sistem operasi yang sudah berusia lebih setahun. Ciri tambahan yang diberikan oleh Nubia ialah RAM maya sebesar 4GB. Secara keseluruhan peranti hanya mempunyai memori sehingga 8GB. Adalah sangat aneh melihat peranti moden dengan RAM asas sebesar 4GB.
Selain itu terdapat ciri seakan Dynamic Island yang membolehkan pemain muzik dikawal terus tanpa perlu membuka aplikasi itu sendiri. Ia berfungsi dengan baik. Jika anda menyukai lampu berkelip-kelip, terdapat sistem ini di bahagian belakang terbina terus pada speaker belakang yang besar.
Pengalaman penggunaan peranti ini adalah tidak memuaskan kerana perisian yang tidak lancar, kesukaran membuka sesetengah aplikasi, aplikasi lambat untuk dibuka dan memori terhad membuatkan tidak banyak aplikasi boleh dibuka serentak. Seperti yang telah saya katakan di atas, ia lebih mirip peranti dari 10 tahun yang lalu.
PENANDA ARAS
Unisoc SC9863A ialah cip kelas asas yang menggunakan teknologi 28nm dilancarkan pada tahun 2019. Bila kali terakhir anda menggunakan peranti dengan cip dengan pemproses setengah dekad? Cip ini amatlah asas kerana hanya menggunakan lapan teras Cortex-A55 yang biasanya dgunakan pada kotak TV atau TV pintar Android kelas permulaan.
Saya membandingkan cip ini dengan Realme C53 dengan Unisoc Tiger T612, Tecno Spark 20 Pro dengan Realme C67 (Snapdragon 685), Honor X7b (Snapdragon 680), Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 11 5G (Dimensity 6100+), dan Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330).
Geekbench 6
- Nubia Music – 195/819
- Realme C53 – 408/1421
- Realme C55 – 420/1377
- Redmi 12C – 403/1212
- Infinix Note 12 2023 – 577/1833
AnTuTu 3D
- Nubia Music – 146,164
- Realme C53 – 253,978
- Realme C55 – 251,263
- Redmi 12C – 212,386
- Infinix Note 12 2023 – 377,936
3DMark Exteme
- Nubia Music – Tidak boleh dilakukan
- Realme C53 – 108
- Realme C55 – 745
- Redmi 12C – 188
- Infinix Note 12 2023 – Tiada
Skor yang dicatatkan Nubia Music adalah paling rendah pernah dicatatkan dalam sejarah ujian di makmal Amanz. Skor dalam Geekbench 6 misalnya hanya 25% daripada Unisoc Tiger T612 pada Realme C53. Kerana spesifikasi terlalu rendah, ujian 3DMark Extreme tidak boleh dilakukan dan Antutu 3D pula mengambil masa yang sangat lama dan seperti yang dapat dilihat di atas adalah sangat rendah.

Mahu main aplikasi permua 3D? Jangan bermimpi kerana ia hanya boleh dimainkan pada tetapan paling rendah dan kadar bingkai yang menyedihkan. Ini tidak mengejutkan saya kerana aplikasi lazim sekalipun Nubia Music tidak dapat jalankan dengan memuaskan apakah lagi permua.
TELEFONI, GPS dan RADIO
Peranti sekadar menyokong rangkaian 4G dan WiFi 2.4GHz. Panggilan telefon adalah jelas tetapi tiada sokongan internet 5GHz adalah sangat mengecewakan. Prestasi GPS juga perlahan sehingga memerlukan masa yang lebih lama kelaziman. Peranti ini juga mempunyai kemampuan digunakan sebagai radio. Ia boleh digunakan tanpa memasang fon telinga berwayar terlebih dahulu kerana antena terbina.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan satu lensa AI tanpa saiz sensor didedahkan. Di hadapan pula sensor 5MP digunakan. Tiada sistem OIS disertakan maka hasilnya semua gambar. yang diambil tidak kelihatan tajam. Walaupun dalam keadaan terang dapat dilihat hingar yang ketara dan warna langsung tidak bermaya. Gambar juga kesemuanya nampak malap. Secara keseluruhan prestasi kamera juga sama seperti prestasi cip pemproses iaitu 10 tahun kebelakang.



Kamera boleh melakukan zum sehingga 4X sahaja. Pada aplikasi kamera terdapat mod zum 2x dan 4X. Anda boleh lihat di bawah hasil rakaman gambar dalam mod zum adalah tidak memuaskan. Semuanya kabur, dan warna tidak bermaya sungguhpun diambil dalam situasi matahari tinggi di langit.



BATERI
Dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dan ia boleh bertahan sepanjang hari jika digunakan secara sederhana. Pengecasan semula mengambil masa lebih dua jam kerana Music hanya menyokong pengecasan 10W.

AUDIO
Jadi adakah kemampuan audio akan membuatkan kesemua kekurangan di atas dilupakan? Jawapannya tidak sama sekali. Speaker di belakang menawarkan audio yang kedengaran rata dan tidak dinamik. Speaker sentiasa menghala ke belakang dan oleh itu audio tidak kedengaran jelas apabila peranti dipegang. Ia perlu diletakkan dengan skrin di bawah sekiranya pemilik ingin menikmati audio yang lebih jelas.

Speaker besar bukan jaminan audio yang baik. Malah pada tahap audio yang tertinggi sekalipun saya rasakan tidak selantang speaker pada iPhone 15 Pro Max atau Galaxy S24 Ultra. Malahan audio kedengaran berserabut pada tetapan paling tinggi. Dua bicu audio membolehkan dua aksesori berwayar dipasang serentak tetapi kualiti audio yang ditawarkan sederhana sahaja.
PESAING
| Nubia Music | Redmi 12C | Realme C55 |
| 6.6″ IPS LCD, 90Hz HD+ | 6.71″ IPS LCD, 60Hz HD+ | 6.74″ IPS LCD, 90Hz FHD+ |
| Unisoc SC9863A (28mm) 4 X 1.6 GHz Cortex-A55 4 X 1.2 GHz Cortex-A55 | Helio G85 (12nm) 2 X 2.0 GHz Cortex A75 6 X 1.8 GHz Cortex A55 | Unisoc Tiger T612 (12nm) 2 X 1.8 GHz Cortex-A75 6 X 1.8 GHz Cortex-A55 |
| Mali-G57 | Mali-G52 MC2 | Mali-G57 |
| 4 GB | 4/6GB LPDDR4X | 6 GB LPDDR4X |
| 128 GB Mikro SD 1TB | 128 GB eMMC 5.1 Mikro SD 1TB | 128 GB UFS 2.2 Mikro SD 2TB |
| Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) Kamera AI FHD 30p | Kamera Utama 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 0.08MP f/2.2 (Makro) FHD 30p | Kamera Utama 50MP,f/1.8 (Sudut Lebar) ?MP, (Sensor AI) FHD 30p |
| Kamera Hadapan 5MP | Kamera Hadapan 5MP f/2.2 | Kamera Hadapan 8MP f/20 |
| Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
| 2x Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
| Audio Mono | Audio Mono | Audio Mono |
| 5000 mAh (Berwayar 10W) | 5000 mAh (Berwayar 10W) | 5000 mAh (Berwayar 33W) |
| RM 389 (4/128GB) | RM 599 (4/128GB) RM 699 (6/128GB) | RM 599 (6/128GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Nubia Music
- 1x Pengecas 10W.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Sering kali apabila ulasan ditulis saya cuba mencari kebaikan pada setiap peranti yang saya rasakan mengecewakan. Nubia Music ialah peranti pertama yang saya mempunyai masalah mencari sudut positifnya kerana ia tidak berkuasa, kemampuan kamera rendah, pengecasan perlahan dan audio yang menjadi gimik jualan adalah mengecewakan. Satu-satunya perkara positif mungkin terletak pada harga jualannya RM389.
Tetapi saya tidak boleh menyarankan pembelian kerana peranti ini tidak serasi digunakan pada tahun 2024. Lebih baik membeli Realme C53 yang sedikit lebih mahal tetap lebih senonoh untuk digunakan tanpa mengundang kekecewaan. Nubia Music bukan sebuah telefon pintar tetapi lebih layak dilabel speaker pintar mampu milik dengan sokongan selular.

Pro
- Harga amat mampu milik.
- Dua bicu audio 3.5mm.
- Radio terbina boleh digunakan tanpa fon telinga berwayar.
- Hayat bateri sepanjang hari.
Kontra
- Masih menggunakan Android 13.
- Tidak responsif dan melancarkan aplikasi dengan perlahan.
- Audio tidak sebaik seperti diiklankan.
- Ada aplikasi tidak boleh dijalankan kerana 4GB RAM.
- Pengecasan 10W.
