Ulasan ASUS Vivobook S 15 – MacBook Air Kini Ada Pesaing Sebenar
Fahim Zahar
Sudah lebih 12 tahun saya menggunakan sistem operasi Windows dan sehingga hari ini saya masih cuba menyimpan duit untuk membeli sebuah MacBook kerana melihat ia digunakan oleh rakan sepejabat. Namun begitu, cita-cita saya untuk membeli Mac terpaksa dibatalkan kerana saya telah jatuh cinta dengan komputer riba Windows Copilot+ PC yang barus sahaja dilancarkan.
Laptop pilihan saya ini adalah ASUS Vivobook S 15 dengan cip Snapdragon X Elite dan menjalankan Windows 11. Cip laptop ini menggunakan binaan Arm yang sama pada telefon pintar dan juga cip Apple Silicon. Sepanjang penggunaan saya, saya percaya dan yakin ini adalah jawapan laptop Windows untuk menandingi macOS – sekurang-kurangnya sebagai pesaing sengit MacBook Air.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
| Nama Model | ASUS Vivobook S 15 (S5507) Copilot+ PC |
| Saiz Paparan | 15.6″, 3K (2880 x 1620) OLED 16:9, 120Hz, HDR True Black 600, Bukan Sesentuh |
| Pemproses | Snapdragon X Elite X1E 78 100 Processor 3.4GHz (42MB Cache, 3.4GHz, 12 teras, 12 Bebenang) NPU Qualcomm Hexagon NPU 45TOPS |
| Cip Grafik | Adreno X1-85 (4.6 TFLOPS) |
| RAM | 32GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD Pembaca kad mikro SD |
| Kamera | Full HD + Pengatup privasi |
| Palam I/O | 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C DP/PD 1x HDMI 2.1 TMDS 1x 3.5mm |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home |
| Sekuriti | Imbasan wajah dengan Windows Hello |
| Bateri | 70WHr Pengecas 90W |
| Harga | RM6,299 |

Dari segi rekaan, ASUS Vivobook S 15 kelihatan seperti laptop biasa sahaja. Ini kerana ia memang laptop Windows biasa yang anda sudah biasa lihat. Apa yang istimewa pada Vivobook S 15 ini adalah cip pemprosesan Snapdragon X Elite iaitu cip Arm baharu untuk peranti Windows dan bukannya cip X86 Intel atau AMD. Selama tiga tahun saya menggunakan laptop dengan cip Intel Core i7 generasi ke-11 dengan 16GB RAM, tetapi laptop ini sudah sangat berkuasa dan ia bukan kerana memori 32GB.

Skrin 15.6-inci yang besar, panel OLED dengan 120Hz, menyokong paparan HDR10+ tetapi bezel pula yang tidak sekata kerana dagu untuk wayar + logo dan dahi pula untuk kamera dengan Windows Hello. Papan kekunci laptop ini adalah jenis penuh dengan pad nombor serta kekunci F. Kekunci Copilot turut disertakan dan pad sesentuh pula mempunyai saiz yang cukup lebar. Elemen lain pada rekaan laptop ini menampakkan ia sebagai sebuah peranti untuk penggunaan profesional dengan tiada corak rumit, tiada elemen ranggi serta sangat kemas dan ringkas.

Vivobook S 15 turut dilengkapi dengan 2x USB-C PD/DP, 2x USB-A, 1x bicu audio 3.5mm, 1x HDMI 2.1 dan juga pembaca kad mikro SD. Berat laptop ini adalah 1.42 kilogram yang cukup ringan dan nipis untuk disimpan di dalam beg galas. Di Malaysia hanya ada warna Cool Silver yang cukup mudah menangkap kotoran cap jari dan daki, tetapi mudah untuk dibersihkan.

BIOMETRI
ASUS tidak memberikan pengimbas cap jari tetapi menggunakan kamera FHD dengan sensor infra merah untuk imbasan wajah melalui Windows Hello. Dalam cubaan saya, ia cukup pantas tetapi di dalam suasana gelap laptop lama saya yang berusia tiga tahun mempunyai prestasi Windows Hello yang lebih pantas. Diharapkan ia boleh diperbaiki dengan kemas kini perisian.
SKRIN
Skrin OLED menawarkan warna hitam yang benar-benar legapp serta menjimatkan penggunaan kuasa. Penggunaan 120Hz tidak begitu membawakan perbezaan ketara berbanding laptop dengan skrin 90Hz kerana saya banyak melakukan kerja menaip berbanding bermain permainan video atau menggunakan aplikasi yang banyak elemen pergerakan. Paparan warna walau bagaimanapun sangat cantik dengan sokongan HDR10+, ia memudahkan saya menyunting gambar dengan Photoshop.

Bezel yang tebal tidak mengganggu saya, tetapi ia tidak sedap mata memandang kerana kelihatan usang. Saya juga tidak suka yang sokongan skrin sesentuh tidak diberikan sedangkan laptop pesaing dengan harga lebih mampu milik boleh. Saiz skrin 15.6-inci untuk saya cukup menarik kerana setiap hari saya menggunakan skrin 14-inci jadi ia adalah saiz yang sangat selesa dan memadai.

PENGGUNAAN – SNAPDRAGON X ELITE + COPILOT+ PC
Kerja harian saya dengan laptop Windows adalah menggunakan Adobe Photoshop, Photoscape, Spark, Firefox, Opera, WhatsApp, Quick Share dan menstrim kandungan video atau muzik. Apabila saya bandingkan pengalaman menggunakan laptop Intel dengan Vivobook S 15 ini, cip Snapdragon X Elite jelas sekali lebih berkuasa, lebih efisien dan lancar. Membuka aplikasi adalah sepantas aplikasi dalam telefon pintar.

Majoriti aplikasi yang saya gunakan setiap hari disokong secara natif, kecuali beberapa seperti VPN dan Quick Share. Penyelesaian sementara adalah menyalin fail program dari laptop lama ke laptop ini untuk menggunakannya, cuma tidak semua aplikasi boleh. Prestasi pantas pada awalnya saya ingatkan kerana memori 32GB RAM tetapi tidak kerana jumlah penggunaan memori pada laptop ini adalah lebih rendah.

Photoshop dan banyak pelayar web disokong secara natif, jadi kerja harian saya tidak terjejas. Untuk ciri AI generatif, Photoshop memang tidak menyokong pemprosesan dari dalam peranti jadi ia lebih kurang sama cuma masa memuat lebih baik. Yang saya boleh guna dengan puas hati adalah Cocreator pada Paint. Ia seronok tetapi bukan ciri AI yang saya mahukan.
Ciri Microsoft Recall yang memanfaatkan kuasa NPU dan CPU laptop ini masih tidak boleh digunakan. Malah aplikasi AI ASUS sendiri iaitu StoryCube turut ada masalah. Sepanjang penggunaan saya, Vivobook S 15 bukanlah laptop AI yang dijanjikan tetapi adalah laptop Windows untuk produktiviti yang lebih berkuasa.

Untuk permainan video, saya telah menguji Resident Evil Biohazard atau RE7 melalui Steam. Saya amat terkejut yang tidak seperti laptop produktiviti lain, Vivobook S 15 ini mampu menjalankan permainan grafik tinggi ini dengan lancar. Tetapan grafik lalai majoritinya adalah paling tinggi dan saya menerima sekitar 60FPS untuk sesi bermain sekitar 30 minit. Ini baru permainan yang dipasang melalui proses penterjemahan X86 ke ARM belum lagi yang natif.

Saya dapat rasakan peralihan laptop Windows dari platform X86 ke Arm adalah pantas. Saya katakan begini kerana untuk saya yang kali pertama menggunakannya sudah selesa dan tiada kerja yang terjejas. Akan datang lebih banyak aplikasi dikemaskini dan menjadi natif ia pasti lebih memudahkan orang ramai. Selepas ini harga jualan pula yang perlu dipastikan adalah mampu, kerana MacBook Air sudah boleh dibeli pada harga bawah RM4000 tetapi Copilot+ PC masih atas RM6000.

Ramai membeli MacBook kerana ekosistem Apple, jadi apa justifikasi untuk mereka beralih kepada Windows jika benar Copilot+ PC adalah pesaing MacBook Air sebenar? Jawapannya adalah Phone Link yang sekarang banyak terhad dengan Smasung dan peranti dijana Snapdragon 8 Gen 3 pula beroperasi dengan lancar. Ciri perkongsian fail pantas, hotspot segera, salin dan tampal teks, menyiarkan kandungan skrin telefon ke laptop dan semuanya secara perlahan mula disokong pada banyak peranti. Jadi Copilot+ PC dan Phone Link adalah harapan masa hadapan untuk ekosistem separa terbuka.
PRESTASI & PENANDA ARAS
ASUS Vivobook S 15 sememangnya adalah laptop AI yang berkuasa. Walaupun begitu seperti yang saya katakan tadi masih ada aplikasi yang tidak boleh dijalankan dengan sempurna, ini termasuk dengan aplikasi penanda aras. Untuk melihat kemampuan peranti ini secara teknikal, saya mengujinya dengan 3DMark Wild Life Extreme, Geekbench 6, CrystalDiskMark dan juga yang terbaru Geekbench AI. Data baca/tulis SSD tidak begitu pantas seperti yang saya harapkan dan ini jelas apabila melakukan pemindahan fail atas 5GB. 3DMark ada ralat ketika ujian, PCMark10 langsung tidak disokong dan Geekbench 6 memaparkan skor seakan peranti dengan Snapdragon 8 Gen 3.

Untuk Geekbench AI pula memaparkan skor dengan format tersendiri, bukannya TOPS. Berdasarkan carta dalam laman Geekbench, skor laptop AI ASUS ini sebenarnya tidak cukup berkuasa jika dibandingkan dengan peranti lain. Ini mungkin kerana masih berada di generasi pertama dan masih banyak pengoptimasian kemas kini perlu dilakukan.

PCMARK10
- Masih tidak disokong
GEEKBENCH 6
- 2290/14072 untuk satu teras dan multi-teras.
GEEKBENCH AI
- 1765/1263/4875
3DMARK Wild Life Extreme
- Ralat ketika ujian
CRYSTALDISKMARK
- 4044.81 MB/s Baca, 3620.96 MB/s Tulis
KAMERA, PAPAN KEKUNCI & PAD SESENTUH
ASUS Vivobook S 15 masih menggunakan papan kekunci chicklet, yang agak baik. Sebagai pengguna yang sudah biasa dengan papan kekunci mekanikal, penggunaan pada laptop ini pada awalnya agak aneh. Banyak kekunci saya salah tekan yang membuatkan teks ada kesilapan ejaan. Namun begitu selepas tiga hari penggunaan, saya terus menjadi biasa dan sangat selesa. Lampu backlight tidak begitu terang tetapi memadai untuk menaip di waktu malam. Kekunci Copilot sangat jarang saya tekan kerana sudah biasa menggunakan tetikus tekan terus dari Taskbar.

Pad sesentuh dengan lapisan kaca untuk perlindungan juga sangat baik. Saiz yang besar serta tidak begitu kesat ini memudahkan saya melakukan pelbagai kawalan gestur. Tidak kira yang rasmi dari Windows atau khas dari ASUS seperti tatal di sebelah kanan untuk aras suara, di kiri untuk kecerahan dan atas untuk kawal video atau muzik. Saiz yang besar juga sangat selesa dengan memastikan semua kawalan tepat.

Kamera web biasanya laptop Windows tidak kira murah atau mahal adalah sangat lemah. Vivobook S 15 menggunakan kamera FHD dengan ciri AI serta Windows Studio Effects baharu yang penuh dengan ciri menarik. Kualiti gambar dan video adalah lebih terang, jelas dan sangat mudah dilihat dalam mana-mana sesi telesidang. Ciri penuras, auto framing dan sebagainya juga pantas dan hampir tepat.

AUDIO
Laptop ini dilengkapi dengan sistem stereo harman/kardon. Pemandu audio berada di bawah, begitu juga kekisi speaker. Kualiti audio agak sedap dan seimbang, ia juga cukup lantang. Saya memainkan muzik sambil melakukan kerja, audio disampaikan dengan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Menonton filem tanpa fon kepala atau speaker luaran pun memuaskan. Cuma, vokal sedikit tenggelam kerana bass yang agak kuat.
BATERI
Bateri adalah sangat penting untuk laptop produktiviti. Snapdragon X Elite membawakan kemampuan bateri lebih kurang sama dengan telefon Snapdragon 8 Gen 3. ASUS mempromosikan Vivobook S 15 untuk bertahan sehingga 18 jam dan saya boleh menggunakan laptop ini untuk lebih 14 jam.

Ini adalah satu ketahanan yang luar biasa dan 6 tahun bekerja di Amanz, ini adalah laptop Windows pertama saya gunakan mempunyai yang sangat tahan lama. Pengecasan adalah melalui USB-C PD dengan kuasa 90W, di mana sekitar 1 jam bateri boleh dicas sehingga penuh. Masa standby laptop ini kalau saya tidak matikan dan hanya menidurkan juga sangat lama.
APA DALAM KOTAK?
- 1x ASUS Vivobook S 15 Cool Silver
- 1x Pengecas USB-C 90W
- 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN
Selepas bertahun menyimpan duit untuk membeli sebuah MacBook Air saya telah merasa seperti langit runtuh, bumi cair kerana ASUS Vivobook S 15 memberi keyakinan kepada saya untuk terus bergantung kepada Windows. Prestasi yang mantap, bateri yang sangat tahan lama, ciri AI yang menarik, kamera web yang semakin cantik dan juga ekosistem Link to Windows yang mesra pelbagai peranti.

Satu sahaja yang saya akan tunggu adalah harga jualan permulaan sebuah Copilot+ PC. Sekarang, Vivobook S 15 adalah RM6299 antara yang murah di Malaysia. Jika suatu hari nanti ia menjadi bawah RM5000 saya akan beli sendiri untuk kegunaan peribadi.
PRO & KELEBIHAN
- Prestasi yang sangat pantas.
- Bateri yang tahan sangat lama dengan pengecasan pantas.
- Skrin yang cantik, terang dan sedap digunakan.
- Beberapa ciri AI sangat menarik digunakan dan benar-benar lancar.
- Penggunaan Windows 11 yang lebih selesa.
- Kamera web yang semakin cantik.
- Papan kekunci dan pad sesentuh yang selesa.
KONTRA & KEKURANGAN
- Kualiti binaan kurang memuaskan.
- Masih ada aplikasi penting seperti VPN, Premiere Pro yang tidak natif dengan prestasi tidak konsisten.
- Bateri tahan lama mengambil masa seminggu untuk stabil.
- Tiada kata putus bila laptop AI ini akan menjadi laptop AI sebenar.
- Harga jualan agak tinggi.
