Google Assistant Pada Google Home Dikuasakan Dengan Gemini Untuk Suara Lebih Semula Jadi
Fahim Zahar
Google baru sahaja melancarkan beberapa produk Google Home baharu seperti Google TV Streamer dan juga beberapa peranti Internet benda Google lain seperti keluarga Nest. Menariknya, setiap produk ini telah diintegrasikan dengan Gemini dan Google Assistant masih menjadi pembantu maya utama. Cuma kini, Assistant telah dinaiktaraf dengan model Gemini untuk suara pembantu yang lebih semula jadi.
Google Assistant sudah bertahun kedengaran sangat semula jadi seakan berbual dengan manusia. Cuma dengan ChatGPT-4o yang sudah boleh mengenalpasti emosi seakan filem Her, Google turut ingin menjadikan suara pada Assistant berganda lebih semula jadi. Assistant baharu ini turut akan lebih mudah memahami arahan dan konteks pengguna sehingga pelbagai soalan dan arahan boleh diberikan serentak.

Assistant turut akan menerima suara baharu pada hujung tahun ini. Jelas di sini yang Google Assistant masih lagi diperlukan dan terbukti masih lagi berguna lagi-lagi sebagai pembantu maya. Cuma anehnya, Gemini pada telefon pintar jika ingin menjadi seakan Google Assistant perlu bergantung kepada pemalam tetapi Google Assistant pada Google Home perlu bergantung kepada Gemini untuk menjadi lebih pintar.
[sumber] Google [/sumber]