Siri Vivo V40 Kini Rasmi Dengan Cip Dimensity 9200+ Dan Kamera ZEISS
Amy Maizuraa
Dua peranti baharu Vivo V40 dan Vivo V40 Pro telah dilancarkan secara rasminya di India sebentar tadi. Ia menawarkan peningkatan menarik sambil mengekalkan sistem kamera ZEISS. Ia juga diberi nafas baharu untuk rekaan yang tampil ringkas namun cukup elegan dalam kelasnya.

Vivo V40 Pro menggunakan skrin AMOLED melengkung sebesar 6.78″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dijana cip MediaTek Dimensity 9200+ dengan pilihan memori 8/12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Selain turut menjalankan perisian terkini Funtouch OS 14 Global yang dibina berasaskan Android 14 untuk pengalaman penggunaan yang dipertingkatkan.

Tri-sensor 50MP (ZEISS) digunakan di belakang dengan kebolehan untuk utama, ultra lebar dan telefoto potrait (2X optikal & 50X digital zum). Ini diikuti juga kamera hadapan yang juga sebesar 50MP untuk tangkapan gambar swafoto. Bateri adalah sebesar 5,500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W. Di samping turut mempunyai penarafan kalis air IP68, NFC dan pembesar suara stereo.

Vivo V40 juga dilengkapi skrin AMOLED FHD+ 120Hz sebesar 6.78-inci. Ini digabungkan dengan cip Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3, memori sehingag 12GB RAM dan storan dalaman 512GB sebagai tunjang utama. Kemudiannya pelancar terkini Funtouch OS 14 Global yang dibina berasaskan Android 14 juga digunakan sebagai pelengkap.

Tiada kamera telefoto disediakan sebaliknya peranti hanya mengokong dwi-sensor 50MP (ZEISS) untuk kebolehan utama dan ultra lebar. Gambar swafoto boleh diambil menggunakan kamera hadapan 50MP. Bateri sebesar 5,500 mAh juga disediakan dengan ia menyokong pengecasan berwayar 80W. Lain-lain spesifikasi ialah kalis air IP68, pembesar suara stereo dan sambungan bluetooth 5.4.
Di India peranti dijual bermula ₹34,999 (~RM1,870) untuk model V40. Sementara itu V40 Pro pula bermula ₹ 49,999 (~RM2,671) sebuah. Terdahulu Vivo turut mengesahkan kehadiran kedua-dua peranti untuk pasaran Malaysia namun persoalan mengenai spesifikasi sama ada serupa atau sebaliknya masih belum diketahui setakat ini.