Huawei MatePad Pro 12.2 Dilancarkan Dengan Skrin OLED 144Hz Dan Sokongan Stylus
Amy Maizuraa
Sekiranya ada yang berpendapat tablet Huawei MatePad Pro 13.2″ sebelum ini agak besar saiznya. Kini Huawei hadir dengan tawaran lebih kecil menerusi pengenalan MatePad Pro 12.2″ yang diumumkan di China. Pelbagai ciri dan fungsi menarik boleh ditemui yang termasuk ciri berasaskan AI untuk pengalaman lebih baik.

Ia juga menggunakan skrin berteknogi OLED Dual Layer sebesar 12.2-inci untuk peningkatan tahap kecerahan yang lebih baik. Huawei mendakwa skrin itu boleh bertahan tiga kali lebih lama berbanding paparan OLED dan sepatutnya mampu mengurangkan penggunaan kuasa 33% lebih baik. Menariknya lagi apabila skrin turut menyokong kadar segar semula 144Hz yang sepatutnya memberi pengalaman tatalan yang lancar.

Tiada butiran mengenai cip pemprosesan namun itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Tablet bagaimanapun menawarkan pilihan memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman 512GB dan pelancar HarmonyOS 4.2 lengkap dengan ciri berasaskan AI baharu. Antaranya seperti Celia Document Assistant yang bantu memudahkan ringkasan fail PDF, AI Writing Tool boleh memanjangkan sesuatu teks secara automatik dalam WPS Words dan AI Tools For Notes pula kini menyokong muka taip tulisan tangan untuk penulisan nota lebih kreatif.

Seterusnya ia juga menjadi sebuah lagi tablet Huawei dengan sokongan stylus. Melengkapi lagi tablet ialah kamera utama 13MP + 8MP, kamera hadapan 16MP dengan kemampuan Smart Sensing Camera dan bateri berkapasiti 10,100 mAh. Di China MatePad Pro 12.2 dijual pada harga bermula CNY 4,299 (~RM2,688) dengan tiada butiran mengenai ketersediaan di Malaysia buat masa ini.