Facebook Tawar Kelas Pemulihan Kepada Pencipta Kandungan Yang Melanggar Piawaian Komuniti
Rihhadatul Aisy
Facebook kini memperkenalkan inisiatif baharu untuk membantu pencipta kandungan di platform berkenaan untuk dapat terus mengakses Facebook walaupun setelah melanggar piawaian komunitinya pada kali pertama. Menurut Facebook, pihak mereka menyedari yang semua orang pastinya pernah melakukan kesilapan tanpa disengajakan. Justeru itu, program “kelas pemulihan” diwujudkan bagi memberikan peluang kedua dan membantu pengguna untuk lebih memahami serta mematuhi piawaian komuniti Facebook.

Fokus pihak mereka adalah untuk memberikan pendekatan dari segi pendidikan terlebih dahulu sebelum segera menghukum pengguna yang melanggar piawaian komuniti untuk pertama kali. Apabila pengguna melanggar piawaian, mereka akan menerima amaran dan pemberitahuan untuk melengkapkan latihan pendidikan. Setelah selesai, barulah amaran akan dipadam daripada rekod pengguna.
Namun, bagi pencipta kandungan yang mengulangi kesilapan dalam tempoh setahun, mereka berhadapan dengan hukuman menerima amaran dan ia tidak lagi dapat memadam rekod. Ia sekaligus akan menyebabkan akaun mereka kurang jangkauan dan peluang menghasilkan pendapatan menerusi Facebook dihadkan.
Buat masa ini, program latihan ini hanya ditawarkan kepada pencipta kandungan yang menggunakan Mod Profesional dan hanya akan dilancarkan kepada lebih ramai pengguna dalam masa beberapa bulan yang akan datang. Ia adalah mirip langkah yang diambil YouTube sebelum ini juga memperkenalkan kelas pemulihan kepada pengguna yang menerima amaran kerana melanggar terma laman.
[sumber] Creators [/sumber]