Carian
RedMagic 9S Pro Dilancarkan Semula Dengan Jaminan 18 Bulan – Harga Bermula RM3499
August 9, 2024 Fahim Zahar

Beberapa minggu lepas, RedMagic 9S Pro telah dilancarkan di Malaysia sebagai telefon pintar pertama di Malaysia dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version. Ketika dilancarkan, peranti ini tidak mempunyai jaminan rasmi oleh ZTE Malaysia sehinggalah hari ini ia dilancarkan semula.

Masih lagi peranti yang sama iaitu dengan skrin AMOLED BOE Q9+ 120Hz bersaiz 6.8-inci dan kecerahan mencapai 1600 nits. Cip Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version dipadankan dengan memori mencapai 16 GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0. Konfigurasi kamera pula adalah 50MP Samsung GN5 + 50MP + 2MP dan kamera swafoto pula adalah 16MP jenis UDC generasi kedua.

Peranti menjalankan REDMAGIC OS 9.5 berasaskan Android 14 dengan sokongan kemas kini perisian selama 2 tahun. Bateri adalah 6400mAh dengan pengecasan 80W, suis lungsur Game Space masih dikekalkan, butang sentuh bahu turut masih ada dan sistem RGB pula adalah jalur yang boleh diubahsuai. Untuk sistem penyejukan, ia menggunakan kipas ICE 13.5 dengan bilah berpusing pada kadar 22,000 RPM.

RedMagic 9S Pro turut direka untuk kelihatan lebih kemas. Kamera tiada bonggol tetapi rata di belakang, kemudian dari segi corak ia tidak lagi ranggi sebaliknya nampak elegan dan ringkas. Cip khas Red Core 2 Pro disertakan untuk mengendalikan segala ciri gaming termasuk menjadikan telefon sebagai alat kawalan dan skrin laptop sebagai monitor utama.

Bagi yang tidak tahu, Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version adalah cip sama seakan Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy cuma ia digunakan untuk peranti bukan Samsung. Ini bermakna, kuasa GPUnya juga adalah lebih berkuasa iaitu Adreno 750 1 GHz. Harga jualan pula masih sama; 12/256 GB pada harga RM3499, kemudian 16/512 GB pula pada harga RM4399. Sempena pelancaran semula, RedMagic VC Cooler 5 Pro yang bernilai RM249 akan diberikan sebagai hadiah.

Komen