Maybank Mula Halang Aplikasi MAE Diakses Sekiranya Mengesan Perisian Hasad Atau Risiko Pada Tetapan Peranti
Aman
Maybank hari ini mula memperkenalkan ciri baharu kepada pengguna aplikasi MAE, dimana ketika aplikasi tersebut dijalankan, ia secara automatik akan mengimbas sebarang perisian hasad atau risiko pada tetapan peranti, dan seterusnya memaparkan notifikasi atau skrin amaran dan halangan kepada pengguna.
Langkah ini selari dengan pengumuman persatuan perbankan baru-baru ini, selain pada masa yang sama melindungi para pengguna daripada sebarang pengalaman perbankan yang tidak diingini.

Melalui halaman Maybank, aplikasi MAE akan paparkan amaran danhalangan pada peranti apabila dibuka sekiranya terdapat sebarang aplikasi berbentuk perisian hasad atau malware. Paparan amaran berkenaan turut akan menyenaraikan aplikasi yang terlibat, dan pengguna akan perlu membuang aplikasi berkaitan sebelum dapat terus menggunakan MAE.
Selain itu, MAE akan turut memaparkan amaran sekiranya anda mengaktifkan ciri seperti Developer Mode atau Accessibility Mode, dimana ciri berkenaan mungkin diaktifkan tanpa sedar oleh pengguna, membawa kepada risiko serangan pihak ketiga.
Maybank menyatakan ciri sekuriti baharu ini mula diperkenalkan kepada semua pengguna aplikasi MAE secara berperingkat bermula hari ini.