Carian
Laptop AI Untuk Pencipta Kandungan ASUS ProArt P16 Dan PX13 Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM9,999
August 12, 2024 Fahim Zahar

Ketika acara Computex 2024 bulan Jun lepas, ASUS telah melancarkan keluarga laptop AI mereka. Antaranya adalah ASUS ROG Zephyrus G16, TUF Gaming Laptop A14, ASUS Vivobook S 15, dan juga ASUS Zenbook S16. Terbaru untuk pasaran Malaysia adalah ASUS ProArt P16 dan ProArt PX13.

Setiap laptop ini hadir dengan ciri AI tersendiri oleh ASUS iaitu StoryCube sebagai album yang boleh menguruskan gambar dan video dengan bijak. Kemudian adalah MuseTree iaitu penjana imej untuk membantu artis mencari inspirasi atau jurutera mencipta imej pengolokan produk. Semua ciri ini diproses dari dalam peranti dan memandang ia menjalankan Windows 11, kekunci Copilot untuk Copilot+ turut disertakan.

PROART P16

Laptop ini menggunakan skrin OLED ASUS Lumunia 16-inci dengan bezel nipis beresolusi 4K dan mempunyai berat 1.85 kg. Ia turut dijana dengan pilihan cip AMD Ryzen AI 9 HX 370, dipadankan dengan GPU NVIDIA GeFroce RTX 4070 dengan kemampuan memproses AI pada kadar 321 TOPS. GPU baharu ini turut mempunyai ciri RTX AI untuk membantu mempercepatkan kerja-kerja berkaitan suntingan, produktiviti dan gaming.

Laptop ini turut memberi akses kepada perisian NVIDIA AI seperti NVIDIA Broadcast, RTX Video dan ChatRTX. Padanan memori adalah 32 GB LPDDR5X + 2TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD. Untuk kamera ia adalah Windows Hello dengan sensor FHD IR 3DNR, port sambungan pula adalah 1x USB 4 DP/PD, 1x USB-C 3.2 Gen 2 DP/PD, 2x USB-C 3.2 Gen 2 Type-A, 1x HDMI 2.1 FRL, 1x 3.5 mm Combo Audio Jack, 1x DC-in dan 1x pembaca kad SD Express 7.0. Untuk audio ia adalah Smart Amp Technology dengan Harman Kardon (Premium).

Bateri adalah 90Wh dengan pengecasan 200W. Berat laptop adalah 1.85 KG. Buat masa ini ia hanya terhad dengan satu pilihan warna iaitu hitam.

ASUS PROART PX13

Model ini menawarkan ciri dan fungsi lebih kurang sama dengan ProArt P16 tetapi hadir dalam tubuh yang lebih kecil. Skrin adalah Lumina OLED bersaiz 13-inci dengan bezel nipis dan engsel 360 darjah untuk digunakan dalam pelbagai mod berbeza. Pilihan cip sama iaitu AMD Ryzen AI 370. Memori pula terhad kepada 32GB RAM LPDDR5X dan 1TB SSD berbanding 2TB.

ProArt PX13 juga adalah sebuah laptop NVIDIA Studio yang diiktiraf dengan GPU RTX 4060. Ia menyokong 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C DP/PD, 1x HDMI 2.1 FRL, 1x 3.5 mm combo audio jack, 1x DC-in dan 1x pembaca kad mikroSD 4.0. Speaker adalah sama iaitu stereo dengan Harmon/Kardon Premium.

Berat laptop ini adalah 1.38 kg dengan rekaan yang ringkas dan sangat sesuai untuk pengguna profesional. Untuk bateri Asus menawarkan 73Wh dengan pengecasan 200W. Sama dengan ProArt P16 hanya satu warna hitam ditawarkan.

Kesemua siri ProArt ini menjanjikan kuasa AI terbaik untuk pelbagai jenis tugasan lebih-lebih lagi kerja-kerja suntingan foto dan video. Untuk itu, ASUS bekerjasama dengan CapCut dan Adobe untuk memberi 6 bulan langganan CapCut Pro secara percuma dan 3 bulan langganan Creative Cloud percuma. Hadiah menarik lain adalah pengguna akan menerima langganan Microsoft 365 Basic setahun, Microsoft Office 2021 Home & Student, beg galas khas dan penyesuai RJ45.

Harga jualan adalah seperti berikut;

  • ASUS ProArt PX13 – RM9,999
  • ASUS ProArt P16 – RM12,999
Komen