Carian
China Berjaya Menguji Dron Kargo Swaterbang Dengan Kapasiti 2 Tan
August 13, 2024 Effi Saharudin

China kini memasuki era dron yang boleh membawa bebanan kargo lebih berat dengan kejayaan penerbangan pertama dron keluaran Sichuan Tengden Sci-tech Innovation Co., Ltd pada Ahad lalu. Dron ini dibangunkan dengan kemampuan swaterbang bagi melakukan penerbangan membawa kargo untuk perjalanan pendek apabila diperlukan. Ia dilengkapi dua enjin turboprop dan menggunakan bahan api fosil.

Ujian dilakukan oleh lapangan terbang am Zigong Fengming yang terletak di Sichuan China. Ia mempunyai sayap sepanjang 16.1 meter, tinggi 4.6 meter dan ruang kargo dengan kapasiti 12 meter padu yang boleh membawa sehingga 2 tan kargo. Dalam penerbangan pertama dron terbang selama 20 minit sebelum kembali mendarat.

Maklumat lain mengenai jarak penerbangan maksimum, kelajuan maksimum dan sejauh manakah kemampuan swaterbang pesawat ini masih belum didedahkan. Walaupun dibangunkan bagi tujuan mengangkut barangan untuk jarak dekat, penganalisa Barat melihat ia mempunyai kemampuan untuk menjadi pesawat membawa bekalan ke pangkalan milik China di tengah-tengah Laut China Selatan.

Kos dapat dikurangkan dan risiko terhadap krew manusia dapat dikurangkan sekiranya dron kargo seperti ini digunakan ketika konflik. Sichuan Tengden Sci-tech Innovation Co., Ltd. sebelum ini pernah memperlihatkan imej konsep dron kargo dengan empat enjin jet dan tubuh berkembar seperti Startolaunch.

Komen