Telegram Memperkenalkan Ciri Mengenakan Bayaran Untuk Menyertai Channels
Fahim Zahar
Telegram tahun ini mula membantu pengguna mereka menjana pendapatan dari 50% pendapatan iklan-iklan yang dipaparkan dalam Telegram Channels. Terbaru, pemilik Channels kini boleh mengenakan bayaran kepada orang ramai jika ingin menyertai Channel berkenaan.

Melalui Star subscription, pemilik Channel boleh mengaktifkan ciri bayar untuk menyertaia saluran mereka menerusi pautan. Pautan ini boleh ditetapkan jumlah pengguna, had jangka masa dan juga boleh memerlukan kelulusan pentadbir untuk disertai. Ciri ini untuk menawarkan pengguna setia mana-mana Channel mengakses kandungan tambahan, menerima akses awal kepada kandungan eksklusif, akses awal untuk media dan juga siaran langsung VIP.

Star reactions pula adalah seakan TikTok di mana pengguna boleh membeli Star untuk menghantar ke pemilik Channel sebagai tanda sokongan. Pengguna yang paling banyak menghantar Star turut akan dipaparkan dalam carta kedudukan khas. Paid Media for Bots turut diperkenalkan untuk menjana pendapatan melalui kandungan yang bot hantar seperti bayar 5 Star untuk melihat gambar.

Super Channels juga adalah ciri menarik kerana membenarkan pemilik Channel menghantar mesej sebagai profil peribadi. Akhir sekali adalah Document Viewer on iOS yang membolehkan pengguna melihat dokumen melalui Telegram Browser dari dalam aplikasi tanpa membuka aplikasi lain. Untuk pendapatan, Telegram langsung tidak mengambil sebarang komisen dan pemilik Channel akan menerima 100%. Mereka yang berbelanja untuk mempromosikan Channels pula layak menerima subsidi 30% dari pendapatan iklan.
Semua ciri ini telah tersedia dalam iOS dan Android melalui kemas kini baharu di App Store dan Play Store.

[sumber] Telegram [/sumber]