Impak tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dapat dilihat di sektor teknologi sejak dua tahun kebelakangan ini dengan puluhan ribu telah kehilangan kerja. Bukan kerana kerja mereka digantikan dengan AI tetapi syarikat mengubah tumpuan kepada produk AI yang menyebabkan bahagian lain perniagaan yang tidak berkenaan telah ditutup.
Di Korea Selatan, kerajaan akan mula memperkenalkan penggunaan buku teks dengan AI di sekolah. Menjelang 2028. semua guru perlu menggunakan buku teks digital ini dalam semua subjek kecuali muzik, seni, etika dan pendidikan jasmani. Ini dilihat sebagai cara memberikan kelebihan kepada pelajar di Korea Selatan kerana mereka didedahkan kepada AI lebih awal berbanding pelajar negara lain.
Tetapi lebih daripada 50,000 ibu bapa dan penjaga menandatangani petisyen supaya kerajaan memberikan tumpuan kepada kesejahteraan pelajar dan bukannya kepada pengenalan teknologi terkini menurut laporan Financial Times. Antara komen yang diberikan mereka ialah sudah timbul isu penggunaan peranti yang terlalu lama dalam kalangan pelajar. Mewajibkan lagi penggunaan buku teks digital dalam kelas dilihat sebagai hanya memburukkan keadaan.
Penggunaan AI dalam kelas juga adalah topik yang hangat diperkatakan di kalangan ibu bapa di Malaysia dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengatakan ia akan diperkenalkan di sekolah rendah bermula 2027. Persoalan mengenai jurang digital yang bakal wujud, kos untuk menggunakan data dan juga keserasian memperkenalkan subjek AI di sekolah masih belum terjawab. Malahan garis panduan tadbir urus dan kod etika AI negara juga masih belum diketahui kandungannya.