ZOTAC GAMING ZONE Dilancarkan Secara Rasmi – Akan Tiba Di Pasaran Tempatan
Nazrin
ZOTAC, jenama pembuat komponen dan aksesori komputer telah memperlihatkan konsol PC mudah-alih mereka sendiri yang dinamakan ZOTAC The ZONE sebagai sebuah demo di acara Computex Taipei pada pertengahan tahun ini.
ZOTAC nampaknya telah melancarkan konsol PC ini secara rasmi di acara Gamescom yang sedang berlangsung di Jerman, dan mengesahkan kehadirannya di beberapa pasaran terpilih buat masa ini.

Konsol ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8840U bersama-sama dengan memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe Gen4 M.2 2280 dengan storan sebesar 512GB. Ia hadir dengan paparan skrin sesentuh AMOLED bersaiz 7.0 inci dengan resolusi Full HD, kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 800nit bersama-sama sudut pandangan 170 darjah.
Konsol ini menggunakan butang bahu dengan dua tetapan berbeza dengan suis terbina untuk kawalan berbeza. Kemudian pada tombol analog terdapat suis Hall Effect dan tombol berputar Radial Dial yang digunakan untuk mengawal aras suara atau kecerahan skrin. Ia turut menyertakan dua pad sesentuh yang mudah dikawal dengan ibu jari.

Konsol ini turut disertakan dengan dua palam USB 4.0 di bahagian atas dan bawah konsol, yang mana ia boleh digunakan untuk mengecas peranti, dan digunakan bersama dermaga yang boleh dibeli secara berasingan apabila ia dilancarkan kelak.
Kedua-dua palam ini hadir dengan sokongan untuk sambungan DisplayPort 1.4 yang membolehkan pengguna untuk menyambungkan konsol ini kepada paparan yang lebih besar.
Seperti yang dikatakan, ZOTAC nampaknya sudahpun mula membuka pra-tempahan untuk konsol ini di beberapa rantau dan negara terpilih pada harga sekitar $799 (RM3500). Kami telah bertanyakan kepada pihak SunCycle sama ada mereka akan membawa masuk konsol ini ke pasaran tempatan. Jawapan yang diberikan ialah ya, ia akan dijual di sini, tetapi tarikh jualan dan juga tanda harga masih tidak diketahui lagi.
[sumber]ZOTAC[/sumber]