Carian
Zotac The Zone Diperlihatkan Dengan Tombol Berputar, Kamera Swafoto Dan Skrin AMOLED
June 5, 2024 Fahim Zahar

Tahun ini peperangan konsol permainan mudah alih Windows 11 akan menjadi sengit. Ini kerana di acara Computex, Zotac iaitu pengeluar yang terkenal dengan komponen komputer turut melancarkan The Zone sebagai pesaing kepada ASUS ROG Ally X dan MSI Claw 8 AI+.

Zotac The Zone menggunakan rekaan yang tiada keunikan kerana jelas sekali ia mengambil inspirasi daripada Steam Deck dan konsol lain sedia ada di pasaran. Walau bagaimanapun apa yang istimewa adalah ia ringan dan mempunyai alat kawalan unik. Butang bahu mempunyai dua tetapan berbeza dengan suis terbina untuk kawalan berbeza. Kemudian pada tombol analog terdapat suis Hall Effect dan tombol berputar Radial Dials yang digunakan untuk mengawal aras suara atau kecerahan skrin.

Selain itu, The Zone turut menyertakan dua pad sesentuh yang mudah dikawal dengan ibu jari. Skrin 7-inci pada konsol ini adalah AMOLED 120Hz dengan kecerahan mencapai 800 nits. Untuk cip pemprosesan ia menggunakan AMD Ryzen 7 8840U APU, GPU pula adalah Radeon 780M, memori 16GB RAM LPDDR5X-7500 dan storan dalaman 512GB SSD. Terdapat dua port USB-C Thunderbolt 4 untuk pengecasan PD 3.0 dan sambungan DP 1.4. The Zone turut mengintegrasikan kamera web yang boleh terus disambungkan kepada Discord.

Buat masa ini, The Zone masih lagi sebuah konsol dalam bentuk beta dan berkemungkinan spesifikasi akhir akan berubah. Berdasarkan apa yang mereka paparkan di reruai Computex, Zotac amat serius dalam arena konsol mudah alih kerana telah bersedia menyediakan pelancar One Launcher, dermaga dengan pelbagai port sambungan untuk dijadikan sebagai sebuah komputer dan juga kerangka pelindung tahan lasak. Konsol ini dijangka akan mula dijual pada penghujung tahun 2024.

Komen