Carian
MSI
Prototaip MSI Claw 8 AI+ Diperlihatkan Dengan Cip Intel Lunar Lake Dan Bateri 80Wh
June 4, 2024 Fahim Zahar

Saya mengulas MSI Claw A1M beberapa minggu lalu dan mengatakan ia konsol Windows mudah alih yang tidak cukup “tajam” cakarnya berbanding Legion Go dan ROG Ally. Di Computex, saya dapat melihat sendiri model kemas kini MSI Claw 8 AI+ yang bukan sahaja diberikan peningkatan pada cip pemproses tetapi juga pada komponen dalaman yang memperbaiki semua kelemahan MSI Claw A1M pertama.

Perubahan pertama terletak pada cip pemproses Intel Lunar Lake menggantikan cip Meteor Lake pada versi asal. Dengan ini Claw 8 AI+ ialah konsol mudah alih pertama dengan cip Lunar Lake yang baru dilancarkan hari ini. Kemudian skrin LCD kini sebesar 8″ dengan kadar segar semula 120Hz yang sedikit lebih besar berbanding 7″ sebelum ini. Storan kini menggunakan SSD M.2 yang boleh digantikan pemilik meletakkannya setanding dengan ROG Ally X.

Bateri kini 80Wh yang jauh lebih besar berbanding hanya 53Wh pada MSI Claw. Ini akan memastikan masalah bateri cepat habis dalam ulasan model asal bakal dikuburkan. Sekali lagi kapasiti bateri Claw 8 AI+ setanding dengan ROG Ally X. Perubahan lain ialah dua port Thunderbolt 4 USB-C yang membolehkan sambungan aksesori pada kadar pemindahan data lebih tinggi.

MSI belum mendedahkan bila Claw 8 AI+ akan dipasarkan tetapi mungkin pada Q3 2024 memandangkan Claw A1M asal baru sahaja dilancarkan tiga bulan lalu.

Komen