Projektor Mudah Alih Yaber Projector T2 Plus Dengan Speaker JBL Dijual Pada Harga RM1799
Fahim Zahar
Penggunaan projektor mudah alih mula menjadi popular di Malaysia sejak PKP tiga tahun lepas. Dari Lumos dengan pelbagai pilihan, Samsung The Freestyle atau juga BenQ semuanya mempunyai penawaran yang menarik. Terbaru, Yaber Projector T2 Plus pula mula dijual di Malaysia.

Yaber Projector T2 Plus direka sebagai projektor untuk kegunaan di luar rumah seperti ketika berpiknik atau berkhemah. Ia mempunyai sistem LED dengan kecerahan 450 ANSI Lumens yang boleh memancar skrin beresolusi 1080p secara natif dengan saiz 40-inci ke 120-inci. Sistem memastikan pancaran adalah stabil dan selari tidak kira di atas permukaan apa turut disediakan. Untuk audio, Yaber Projector T2 Plus menggunakan sistem stereo Dolby Audio dengan JBL.

Menurut wakil Yaber Malaysia, Projector T2 Plus mempunyai ketahanan bateri untuk sekitar satu filem dengan durasi 2.5 jam atau mendengar muzik untuk 18 jam. Dengan setiap pembelian, dongel Google TV dengan alat kawalan turut diberikan kerana projektor ini menggunakan sistem tersendiri. Jadi dengan dongel percuma ini, pengguna bebas untuk menikmati kandungan dari Netflix, Prime Video atau juga menggunakan Google Cast dan Google Assistant.

Yaber Projector T2 Plus turut direka untuk kelihatan ringkas dan elegan seakan hiasan di dalam rumah. Di Malaysia, ia dijual pada harga RM1799 melalui Lazada dan Shopee. Bermula 29 Ogos, ia turut akan dijual di pelbagai kedai fizikal. Edisi khas Keith Haring turut akan dijual pada sekitar hujung tahun nanti.