JBL Tour Pro 3 Hadir Dengan LCD Pada Pod Pengecas Dan Menjadi Pemancar Peranti Tanpa Bluetooth
Effi Saharudin
JBL Tour Pro 3 diumumkan hari ini sebagai sebuah lagi model yang hadir dengan pod pengecas yang mempunyai skrin LCD sesentuh pada sisi pod pengecas/simpanan. Ia menawarkan skrin 1.57″ yang 30% lebih besar berbanding di Tour Pro 2.

Yang lebih menarik ialah pod pengecas ini juga mempunyai ciri memancar audio menggunakan bluetooth dan Auracast. Ia boleh disambungkan kepada peranti audio menggunakan kabel penyesuai 3.5mm ke USB-C yang disertakan. Dengan ini sistem audio yang tidak mempunyai bluetooth dan sistem hiburan dalam pesawat boleh digunakan dengan Tour Pro 3 secara nirwayar.

Setiap putik telinga dilengkapi dua pemandu audio, satu sebesar 102.mm dan satu lagi sebesar 5.1mm. Audio spatial menerusi penjejakan kepala juga disokong serta codec LDAC. Dengan skrin di sisi pod pengecas, muzik yang didengari boleh dikawal terus daripadanya. Mengakses mod EQ juga boleh dilakukan tanpa pengguna perlu mengubahnya menerus aplikasi telefon pintar.
Dengan sekali caj Tour Pro 3 boleh beroperasi selama 11 jam tanpa ANC dan turun ke 8 jam jika ANC diaktifkan. Setiap JBL Tour Pro 3 dijual pada harga $300 (~RM1314).