Carian
Ulasan Samsung Galaxy Watch Ultra – Salinan Ultra Yang Hampir Sempurna
August 29, 2024 Fahim Zahar

Setiap kali saya menguji jam tangan Wear OS, saya akan katakan siri TicWatch Pro adalah yang terbaik kerana harga jualan dan prestasi yang ditawarkan. Namun sejak mereka keluar dari pasaran Malaysia, pelbagai jenama besar mula menawarkan jam Wear OS masing-masing seperti Oppo Watch X, Xiaomi Watch 2 Pro atau juga keluarga Samsung Galaxy Watch.

Terbaru, saya menguji pencabar Apple Watch Ultra iaitu Samsung Galaxy Watch Ultra yang saya berani katakan adalah jam Wear OS terbaik dalam sejarah yang pernah dihasilkan. Teruskan membaca untuk tahu kenapa!


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Galaxy Watch Ultra
Skrin1.5″ Super AMOLED, 480 x 480, 3000 nits
Muka jam mod malam
Always On Display
Bezel berputar digital
PemprosesSamsung Exynos W1000 (3nm)
Memori/Storan2GB RAM + 32GB Storan
Sistem OperasiWear OS Powered by Samsung
Perlindungan10ATM
IP68
MIL-STD-810H
SensorPemecut, Barometer, Analisis Impedans Bioelektrik,
Jantung Elektrik, Giroskop, Geomagnetik,
Suhu Inframerah, Cahaya, Kadar Jantung Optik
Lain-LaineSIM 4G
GPS, Glonass, Beidou, Galileo
Bluetooth 5.3
Bateri590mAh
Ketahanan mencapai 100 jam
Bahan BinaanJam – Titanium, Kaca Nilam
Tali Jam – Getah Nitril Terhidrogen
HargaRM3399

Rekaan jam ini adalah antara yang paling saya gemari. Ia tahan lasak, nampak ranggi tetapi masih kemas dan nampak ringkas. Ia juga meminjam banyak elemen rekaan Apple Watch Ultra, tetapi masih mengekalkan muka jam yang berbentuk bulat. Tubuh adalah titanium, skrin pula dengan kaca nilam dan tali jam asal adalah getah nitril terhidrogen.

Satu yang saya rasa marah adalah Samsung membuang ciri bezel berputar, kerana komponen ini tidak boleh tahan lasak dan perlu bergantung kepada bezel berputar digital. Butang utama juga tidak boleh berputar, tetapi ada dua butang tambahan untuk pelbagai akses pintas kepada banyak perkara. Setiap butang turut boleh diubahsuai dengan melancarkan aplikasi berbeza seperti Google Assistant, Google Wallet atau WhatsApp. Butang jingga walau bagaimanapun apabila tekan dan tahan terhad kepada siren kecemasan yang sangat bingit.

Jam bersaiz 47mm pada hemat saya adalah saiz terbaik untuk tangan besar untuk individu seperti saya. Selain butang yang sedap ditekan, jam ini turut direka dengan sistem haptik yang sangat sedap dan jitu. Setiap inci jam ini direka dengan baik dan saya berani katakan adalah satu iterasi yang sempurna untuk jam Wear OS.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Skrin jam Galaxy Watch Ultra besaiz 1.5-inci juga adalah cukup besar, sehingga menaip mesej dalam WhatsApp atau mencari aplikasi di Play Store boleh menggunakan papan kekunci penuh. Kecerahan pula cukup dahsyat dengan ia boleh mencapai sehingga 3000 nits dan langsung tiada masalah untuk digunakan ketika bersukan di bawah cahaya matahari yang terik.

Sementara di suasana gelap, muka jam ada mod malam khas seakan Apple Watch yang menggelapkan latar belakang dan memfokuskan kepada warna terang seperti merah yang menyala. Kadar segar semula 60Hz juga sudah mencukupi untuk skrin jam tangan pintar yang turut tidak memberi sebarang masalah lengah masa.

Ya, Galaxy Watch Ultra turut mempunyai kawalan gestur seakan Apple Watch Ultra 2 – di mana pengguna boleh menggerakkan pergelangan tangan dengan tiga aksi berbeza untuk membuang notifkasi, menjawab panggilan dan lain-lain. Ia juga sangat mudah digunakan dan mempunyai tahap sensitif yang bagus kerana tidak berlaku kawalan gestur yang tidak sengaja.

Mana-mana jam tangan Wear OS turut mempunyai fokus yang sama, iaitu mengurangkan masa skrin menyala ketika menggunakan telefon dan bergantung semuanya pada jam seperti notifikasi, emel dan paling penting untuk memantau kesihatan mental dan fizikal. Galaxy Watch Ultra adalah jam Wear OS yang sangat pantas kerana cip Exynos W100 yang berteknologi 3nm yang efisien dan berkuasa. Aplikasi semuanya pantas dilancarkan, mana-mana mod sukan dan mod menjejak data kesihatan juga pantas dan tiada masalah sistem tergendala.

Untuk pemantauan aktiviti, saya amat bersyukur dapat menggunakan Galaxy Watch Ultra kerana menyedari sistem penjejakan yang baik. Misalnya, apabila saya berjalan kaki – jam akan terus merekodkan perjalanan saya secara automatik. Kemudian animasi dan widget berguna dengan paparan data yang mudah faham, membuatkan saya ingin belajar lebih mengenai data-data kesihatan saya. Jam ini turut membuatkan saya yakin untuk kembali aktif dengan sukan badminton.

Kelebihan Galaxy Watch Ultra yang tiada pada jam lain adalah, ia mempunyai algoritma khas untuk membaca tekanan darah tanpa alat tambahan seperti OMRON. Ia menggunakan kiraan tersendiri untuk meramal tekanan darah berdasarkan degupan jantung.

Sokongan ECG juga tersedia dengan pengguna perlu meletakkan jari ke dua-dua butang dan merekod data komposisi tubuh juga boleh dilakukan. Setiap data turut boleh dieksport untuk rujukan doktor agar pengguna seperti saya menerima nasihat yang lebih mendalam.

APLIKASI

Saya sebenarnya tidak menggemari apabila jam tangan pintar memerlukan lebih dari satu aplikasi. Misalnya Galaxy Watch Ultra ini perlu digunakan bersama aplikasi Galaxy Wearables, Samsung Health dan Samsung Monitor. Kemudian jika anda ingin menyelarikan data ke Google Fit, aplikasi Health Connect pula diperlukan. Saya sangat berharap akan datang Health Connect menjadi aplikasi sistem dan semua dari Samsung digabungkan dalam satu aplikasi.

Apa-apa pun, saya suka yang Samsung cuba menjadikan aplikasi mereka ringkas dan mudah digunakan. Seperti pada Galaxy Watch6 Classic, semua data dalam Samsung Health mudah dibaca dan ada banyak ciri menarik boleh digunakan termasuk pelatih digital untuk menjadi lebih sihat. Saya suka yang saya tidak perlu mengorek lebih mendalam data yang telah direkodkan kerana ada ciri AI merumuskan data-data saya. Pada masa yang sama, aplikasi Samsung turut lengkap dengan banyak informasi tambahan yang membuatkan saya mudah untuk belajar terma-terma kesihatan.

BATERI

Sedikit mengecewakan yang jam Wear OS dengan bateri tahan paling lama masih dipegang oleh TicWatch Pro 3 dan Pro 5 kerana menggunakan sistem dwi-skrin. Malah Galaxy Watch Ultra ini pun tidak mempunyai ketahanan bateri setaraf Apple Watch Ultra yang tiada masalah bertahan sehingga 3 hari.

Samsung menyatakan penggunaan semua ciri dan fungsi boleh bertahan sehingga lebih 2 hari atau 60 jam, namun untuk saya ia hanya mencapai 1 hari setengah sahaja. Hanya dengan muka jam ringkas, barulah boleh capai 2 hari. Pada Apple Watch Ultra, penggunaan tiga hari adalah dengan muka jam Ultra mereka.

Kemudian saya tidak suka yang masa pengecasannya agak perlahan. Amat aneh Apple Watch boleh dicas lebih pentas daripada jam Android. Saya juga kecewa dengan jam ini tidak lagi menyokong pengecasan nirwayar di belakang peranti Samsung menerusi pengecasan berbalik. Alasan yang diberikan Samsung ialah rekabentuk panel bawah lebih tebal membuatkan ciri yang disokong untuk sekian lama tidak lagi ditawarkan.

APA ADA DALAM KOTAK?

  • 1x Sasmung Galaxy Watch Ultra.
  • 1x Tali jam getah nitril terhidrogen berwarna jingga.
  • 1x Pengecas bermagnet.
  • 1x Set manual dan buku keselamatan.

KESIMPULAN

Selain daripada isu pada bateri, Samsung Galaxy Watch Ultra adalah jam Wear OS paling sempurna. Ia menawarkan prestasi yang pantas, rekaan yang menarik dan tahan lasak, memuatkan banyak ciri dan fungsi yang berguna. Sejak menggunakan jam ini sebagai pengganti Galaxy Watch6 Classic, sukar untuk saya beralih ke jam lain.

Buat masa sekarang, RM3399 adalah harga yang agak mahal untuk sepasang jam tangan pintar. Pada hemat saya jika anda pentingkan rekaan dan jika anda aktif dengan aktiviti lasak, barulah jam ini sesuai. Jika tidak Galaxy Watch7 atau Galaxy Watch FE sebenarnya sudah memadai untuk merasai jam Wear OS era baharu.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Wear OS powered by Samsung adalah iterasi terbaik pada jam tangan pintar.
  • Skrin gila terang dan pantas.
  • Prestasi yang sangat lancar seakan telefon mercu.
  • Binaan premium, tahan lasak dan sangat seksi di tangan.
  • Sensor dan data yang direkodkan cukup berguna untuk pemantauan kesihatan.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Bateri tidak tahan lama.
  • Pengecasan agak perlahan dan terhad.
  • Saiz tali jam lalai tidak cukup besar.
  • Harga jualan yang agak tinggi.
Komen