Hari ini, Samsung Malaysia telah melancarkan Galaxy A55 dalam warna baharu iaitu Awesome Yellow. Dengan harga jualan yang sama iaitu RM1,999 peranti ini mula menyokong Circle to Search yang selama ini terhad pada Galaxy S, Galaxy Z dan Google Pixel terpilih sahaja. Bukan itu sahaja, Circle to Search ini turut telah dibawa ke peranti Samsung yang lebih mampu milik.
Selain Galaxy A55, Galaxy A35 turut menerima ciri yang sama. Ia adalah ciri carian Google yang dikuasakan dengan AI, di mana pengguna perlu tekan dan tahan ikon skrin utama atau bar gestur di bawah skrin > kemudian bulatkan kawasan yang ingin dicari atau conteng pada mana-mana teks > hasil carian akan memaparkan apa yang anda ingin cari seperti harga baju, lokasi kedai dan jika teks ia akan diterjemah.
Menurut Samsung, ciri ini diedarkan secara berperingkat dan pengguna mungkin perlu mengemaskini OneUI ke versi terkini. Jika tidak, disebabkan Circle to Search ini adalah ciri di bawah aplikasi Google anda boleh semak kemas kini di Play Store.