Carian
Pico 4 Ultra Akan Ke Pasaran Malaysia Pada Bulan Hadapan
August 23, 2024 Amy Maizuraa

Pico 4 Ultra akan membuat kemunculan rasmi di Malaysia pada 3 September 2024. Perkara ini dikongsi oleh Pico menerusi kenyataan di laman media sosial rasmi pada hari ini. Pengumuman ini juga dibuat sejurus selepas beberapa hari pelancarannya di China yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasaran terawal yang mendapatkan Pico 4 Ultra ini.

Seperti namanya ia menawarkan peningkatan lebih menarik berbanding Pico 4 yang diumumkan pada Oktober 2022. Antaranya seperti perkakasan lebih berkuasa menerusi penggunaan Snapdragon XR2 Gen 2, memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan 256GB UFS 3.1. Peningkatan turut diberikan pada kapasiti bateri lebih besar 5700mAh yang juga menyokong pengecasan 45W.

Terdapat juga sokongan audio spatial, sistem pembesar suara stereo dan empat mikrofon disertakan bersama. Ia juga mempunyai sepasang kamera 32MP yang juga boleh digunakan untuk merakam video 3D pada resolusi 2048 x 1536 piksel 60FPS. Di samping boleh disambungkan bersama peranti lain seperti telefon pintar dan dekstop secara serentak misalnya melalui aplikasi Poco Connect.

Dua alat kawalan turut disertakan dengan ia lebih kecil dan tanpa gegelung untuk cengkaman yang lebih selesa. Persoalan kini tertumpu kepada harga jualan peranti yang sudah semestinya diketahui selepas dilancarkan kelak. Namun kita boleh jangka Pico 4 Ultra berpotensi dijual dalam julat harga yang serupa dengan versi di China.

Komen