Pembangunan Meta Quest Pro 2 Dilaporkan Telah Dihentikan
Effi Saharudin
Meta telah membatalkan set kepala premium yang direka untuk bersaing secara terus dengan Apple Vision Pro menurut laporan The Information. Set kepala dengan nama kod La Jolla telah dibangunkan sejak November tahun lalu menggunakan kod nama La Jolla dan sepatutnya dilancarkan sebagai Meta Quest Pro 2 pada tahun 2027.

Menurut perancangan asal, La Jolla ialah set kepala dengan skrin micro-OLED dan menyokong Codec Avatars dengan sasaran harga jualan sekitar $1000 sepasang. Mengapa ia dibatalkan tidak diketahui ketika ini tetapi mungkin kerana pasaran untuk set kepala MR kini tidak begitu memberangsangkan. Jualan Apple Vision Pro yang pada awalnya tinggi telah mula menurun kerana tidak banyak perkara menarik boleh dilakukan walaupun harga jualan mencecah RM16,000 sepasang.

Dalam laporan yang sama, CTO Meta Andrew Bosworth menerusi akaun Threads beliau berkata, keputusan membatalkan produk dalam pembangunan adalah perkara biasa dalam sesebuah syarikat dan ini bukanlah sebuah isu yang besar. Tetapi dapat dilihat sejak dua tahun kebelakangan ini Mark Zuckerberg mula memberikan tumpuan kepada AI dan bukan lagi impian menjadi pemain utama pasaran metamesta.