Telegram kini melalui platform X telah mengeluarkan komen rasmi, susulan daripada penangkapan CEO Telegram oleh pihak berkuasa di Perancis. Menurut Telegram, platform berkenaan mematuhi pelbagai perundangan Kesatuan Eropah, termasuk Akta Perkhidmatan Digital mengikut apa yang ditetapkan oleh piawaian industri, dan terus menambah-baik dari hari ke hari.
Pada masa yang sama, Telegram menyatakan tidak masuk akal untuk mengatakan platform atau pemilik bertanggungjawab atas salah guna platform berkenaan.
Telegram pada hari ini digunakan hampir satu bilion pengguna dalam berinteraksi. Namun, salah satu perkara yang sering dikritik berkenaan platform berkenaan adalah pelbagai jenayah – termasuk pengedaran kandungan haram, digunakan untuk melakukan jenayah, dan sebagainya. Ia juga sering boleh dikatakan salah satu lubuk spam membuatkan ramai terdedah kepada jenayah penipuan. Kekurangan pengawasan ini tidak disukai pelbagai negara, termasuk Malaysia sendiri yang telah kritik Telegram beberapa kali sebelum ini berkaitan kandungan lucah dan lain-lain.
Ia agak mengejutkan apabila Telegram mengatakan platform tidak bertanggungjawab atas salah guna platform berkenaan, memandangkan ramai yang beranggapan sesuatu platform bertanggungjawab dalam menguruskan keselamatan dan kelangsungan melalui platform tersebut.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan apakah tindakan pihak berkuasa Perancis terhadap CEO Telegram, dan bagaimanakah ia akan memberikan kesan kepada platform permesejan berkenaan.