Sejak tahun lepas, Apple dilaporkan telah berbelanja lebih $1 bilion untuk menayangkan filem asli Apple TV+ (Apple Originals) ke panggung wayang sebelum ditawarkan melalui penstriman. Namun, strategi ini nampaknya kurang berjaya kerana jumlah penonton bulanan Apple TV+ masih jauh lebih rendah berbanding jumlah penonton harian Netflix. Ini membuatkan Apple mula melesenkan kandungan luar serta bercadang untuk menawarkan pelan dengan iklan.
Kini Apple dilaporkan mungkin mempertimbangkan untuk kembali fokus kepada Apple TV+. Ini bermakna, filem-filem Apple Originals selepas ini berkemungkinan akan terus ke platform penstriman dan tidak lagi ditayangkan secara eksklusif di pawagam. Perubahan ini mula berlaku dengan filem Wolfs arahan Jon Watts, lakonan George Clooney dan Brad Pitt. Filem ini sepatutnya ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 20 September tetapi ditukar kepada tayangan eksklusif di negara terpilih sebelum terus ke Apple TV+.
Perubahan ini turut berlaku selepas Apple dikatakan sedar yang pemasaran filem Apple Originals mereka tidak menerima sambutan baik seperti filem Blockbuster lain. Contohnya, Napoleon, Argylle dan Killers of the Flower Moon menelan kos pembikinan sebanyak lebih $200 juta dengan pulangan $221 juta, $96 juta dan $157 juta. Kemudian filem terbaru Fly Me to the Moon, menelan kos $100 juta tetapi hanya membawa pulang $40 juta.
Sumber menyatakan yang walaupun Apple dipandang sebagai syarikat terkaya dengan yang pertama mencapai nilai $3 trilion, kutipan rendah dan yang tidak memulangkan kos pembikinan dianggap gagal dan tidak baik untuk imej Apple. Buat masa ini, beberapa filem akan menerima tayangan terhad dan barulah akan tiba ke Apple TV+. Kita mungkin akan melihat banyak lagi perubahan ke Apple TV+ seperti sokongan peranti Android. Sama-sama kita nantikan.
- The New York Times menerusi The Verge